Wednesday, November 11, 2026

Cerita Konvo

 



Tadi saya duduk atas pentas konvokesyen sebagai salah seorang ahli akademik. Dari tempat duduk saya, dapatlah tengok graduan naik seorang demi seorang ambil skrol. Sambil dengar nama dipanggil, mata saya pun sibuk cari muka yang saya kenal. Bila nampak anak didik sendiri, terus senyum. Dalam hati, “Eh, dah konvo dah dia!”

Ada juga graduan yang saya kenal masa saya uruskan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dulu. Mereka ni saya kenal melalui projek dan aktiviti persatuan pelajar. Saya tak pernah ajar mereka dalam kelas. Dulu kami jumpa sebab nak bincang macam mana nak jalankan program, tadi saya tengok mereka naik pentas dalam jubah konvo. Saya tumpang seronok tengok mereka, dan anak-anak didik saya, berjaya habiskan pengajian.

Lepas konvo, ada yang nak kerja makan gaji, ada yang nak sambung belajar, dan ada juga yang nak cuba jadi usahawan. Masing-masing ada pro and cons. Kerja makan gaji biasanya bagi pendapatan yang lebih tetap dan peluang belajar daripada rakan sekerja, cuma kena sesuaikan diri dengan jadual dan cara kerja tempat kerja. Sambung belajar pula bagi ruang untuk mendalami bidang yang kita minat, tapi kena fikir juga soal masa dan kos. Kalau buka bisnes sendiri, kita boleh cuba idea sendiri dan tentukan cara kita nak jalankan bisnes. Dalam masa yang sama, kena cari pelanggan dan bersedia kalau pendapatan turun naik.

Ada juga yang pilih untuk kerja sambil sambung belajar. Boleh je. Gaji masih jalan, pengajian pun boleh diteruskan. Kadang-kadang apa yang kita belajar dalam kelas boleh terus dicuba di tempat kerja. Pengalaman kerja pun boleh bantu kita faham kenapa benda yang dibincangkan dalam kelas tu relevan. Cuma bila kerja tengah sibuk dan tarikh hantar tugasan jatuh pada minggu yang sama, masa tu memang kena pandai urus masa.

Kalau nak buat dua-dua, elok tengok jadual seminggu secara realistik. Contohnya, kalau kelas dua malam seminggu, bila masa yang sesuai nak buat tugasan? Kalau hujung minggu dah ada komitmen keluarga, mungkin boleh buat sikit-sikit pada malam lain. Bila dah tahu tarikh hantar, pecahkan tugasan kepada bahagian kecil supaya ada ruang kalau tiba-tiba kena kerja lebih masa. Kalau boleh pilih jumlah subjek, ambil ikut kemampuan dan tengok dulu macam mana rutin tu berjalan. Masa untuk rehat pun kena masuk dalam kira-kira. Kalau setiap malam dah penuh, susah juga nak kekalkan rentak tu sampai habis semester.

Bagi saya, konvo ni macam satu tempat kita berhenti sekejap dalam hidup. Boleh tarik nafas, tengok balik apa yang dah kita buat, dan raikan usaha sendiri dengan orang yang selama ni ada bersama kita. Lepas ni, masing-masing akan bergerak ikut rentak sendiri. Ada yang dah tahu nak buat apa, ada yang masih tengah fikir, dan ada yang mungkin berubah fikiran bila dah cuba. Biasa la, dalam hidup banyak benda kita baru tahu bila dah buat. Jadi, hari ni enjoy dulu. Ambil gambar banyak-banyak, makan dengan keluarga, dan bagi diri sendiri peluang untuk rasa bangga. Tahniah, korang!


Friday, September 18, 2026

Bila Hidup Datang Serentak

 



Kebelakangan ini, ruang ini agak sepi. Bukan kerana sudah kehilangan minat untuk menulis, dan bukan juga kerana tiada cerita yang mahu dikongsi. Sebenarnya, terlalu banyak perkara yang berlaku dalam satu-satu masa. Tuntutan kerja, tanggungjawab yang semakin bertambah, urusan keluarga serta pelbagai perkara kecil yang perlu diselesaikan setiap hari membuatkan masa terasa bergerak lebih pantas daripada biasa. Ada banyak perkara yang bermain di fikiran dan banyak juga yang ingin ditulis, cuma belum sempat diterjemahkan menjadi kata-kata. Jadi kalau blog ini kelihatan sedikit sunyi sejak akhir-akhir ini, anggaplah saya sedang melalui satu fasa kehidupan yang agak sibuk. Saya masih di sini, masih menulis dalam kepala, cuma belum selalu sempat duduk dan mencatatkannya.

Kerja sekarang pula macam tak putus-putus. Ianya datang silih berganti. Adakala seperti hujan lebat, ada kala seperti kabus. Selesai satu perkara, muncul pula perkara lain yang perlu diberi perhatian. Kadang-kadang bukan satu, tetapi beberapa perkara datang serentak dan semuanya terasa perlu diselesaikan segera. Belum sempat hendak menarik nafas selepas satu urusan selesai, sudah ada perkara lain menunggu di depan. Itu belum dicampur dengan urusan keluarga yang ada kalanya muncul tanpa dirancang dan perlu diutamakan ketika itu juga. Begitulah rutin kebelakangan ini, banyak perkara bergerak dalam satu masa, dan saya pula cuba sedaya upaya memastikan semuanya tetap berjalan seperti sepatutnya.

Dalam kesibukan, satu lagi perkara yang kadang-kadang lebih mencabar daripada kerja itu sendiri ialah apabila berhadapan dengan pelbagai ragam dan karenah manusia. Masing-masing datang dengan cara, kehendak, jangkaan dan cerita yang berbeza, dan semuanya perlu disantuni sebaik mungkin. Ada masa kita boleh membantu, ada masa kita cuba mencari jalan tengah, dan ada juga ketika kita terpaksa menerima hakikat bahawa ianya tidak berada dalam kawalan kita. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara di luar bidang dan kemampuan sendiri. Pada ketika itu, selepas segala usaha yang termampu dibuat, yang tinggal hanyalah sabar, tawakal dan berserah kepada Allah. Mungkin ini semua sebahagian daripada proses kehidupan agar saya mengetahui bila masanya kita perlu terus berusaha, dan bila masanya kita perlu reda dengan perkara yang memang tidak mampu kita tentukan.

Walau sesibuk mana pun hari-hari yang dilalui, saya tetap bersyukur dengan segala yang Allah aturkan. Di sebalik kepenatan dan pelbagai perkara yang perlu difikirkan, ada kepuasan tersendiri apabila apa yang kita lakukan dapat memudahkan urusan orang lain. Kadang-kadang bantuan itu mungkin kecil pada pandangan kita, tetapi besar maknanya kepada mereka yang memerlukan. Itu yang membuatkan segala kesibukan terasa lebih berbaloi. Selagi masih diberi kesihatan, kekuatan dan kesempatan untuk memberi manfaat kepada orang lain, saya anggap semuanya sebagai satu nikmat. Penat itu pasti ada, tetapi rasa gembira tumbuh sendiri apabila dapat membantu orang lain. 



Friday, July 24, 2026

Pengalaman Pertama Saya dengan Perfume Decant

 



Dalam dunia wangian, istilah perfume decant semakin mendapat perhatian dalam kalangan penggemar minyak wangi, sama ada mereka yang baru ingin berjinak-jinak mahupun pengumpul tegar. Secara ringkasnya, decant merujuk kepada proses memindahkan minyak wangi asli daripada botol asal ke dalam botol yang lebih kecil menggunakan peralatan yang sesuai. Kandungan wangian tersebut kekal sama kerana ia diambil terus daripada botol asal tanpa sebarang campuran atau pengubahsuaian. Konsep ini membolehkan pengguna mencuba pelbagai jenis wangian pada kos yang lebih rendah, menikmati kemudahan membawa minyak wangi ketika melancong atau ke tempat kerja, serta membuat keputusan yang lebih yakin sebelum melabur untuk membeli botol bersaiz penuh. Oleh itu, perfume decant telah menjadi pilihan yang praktikal dan menjimatkan bagi sesiapa yang ingin meneroka dunia wangian dengan lebih luas tanpa komitmen kewangan yang tinggi.

Terus terang, saya sendiri pun baru masuk ke dunia perfume decant. Sebelum ini, saya memang agak skeptical. Dalam fikiran saya, “Betul ke ni original? Atau sekadar clone yang dibotolkan semula?” Tambahan pula, sekarang terlalu banyak cerita tentang perfume fake dan scam seller membuatkan saya lebih berhati-hati.

Akhirnya, rasa curious mengatasi segala keraguan. Saya pun memberanikan diri membeli beberapa perfume decant daripada seller online yang mempunyai banyak review positif. Sejujurnya, selepas mencuba sendiri, persepsi saya terus berubah.

Saya memang seorang yang gemar membeli original full bottle daripada butik atau authorized retailer. Jadi, saya sudah biasa dengan bau asal sesuatu fragrance. Bila saya bandingkan dengan decant yang saya beli, memang saya boleh katakan baunya sama. Dari top notes, middle notes sehinggalah dry down, semuanya memberikan pengalaman yang sama seperti perfume daripada botol asal.

Daripada pengalaman inilah saya mula faham mengapa perfume decant semakin popular. Ia memberi peluang kepada kita untuk  mencuba sesuatu fragrance beberapa hari atau minggu sebelum membuat keputusan membeli full bottle yang mungkin berharga ratusan atau ribuan ringgit. Sudah tentu, perkara paling penting ialah membeli daripada seller yang benar-benar trusted, kerana keaslian sesuatu decant bergantung sepenuhnya kepada kejujuran penjual yang melakukan proses tersebut.

Satu lagi sebab saya mula berminat dengan perfume decant ialah saya dapat mencuba perfume-perfume yang selama ini hanya mampu tengok di YouTube atau baca review sahaja. Ada yang harganya mencecah RM1,000, malah ada juga yang lebih mahal daripada itu. Nak beli full bottle memang kena fikir banyak kali. Bukan tak nak, cuma bajet pun ada hadnya. 

Jadi, bagi saya, dapat memiliki 5 ml atau 10 ml decant pun sudah cukup memuaskan. Sekurang-kurangnya saya dapat merasai sendiri bagaimana sesuatu fragrance itu berkembang di kulit sepanjang hari. Kadang-kadang, perfume yang dipuji ramai rupanya tidak begitu sesuai dengan citarasa saya. Ada juga perfume yang pada awalnya saya tak pandang, tetapi selepas beberapa kali pakai, terus jatuh cinta.




Lagipun, saya memang jenis yang suka rotate perfume mengikut mood, cuaca dan tempat. Ada hari saya mahukan bau yang fresh untuk ke pejabat, ada hari saya lebih suka sesuatu yang manis atau woody pada waktu malam. Kalau semuanya dibeli dalam bentuk full bottle, bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi, malah mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dihabiskan. Dengan adanya perfume decant, saya boleh menikmati lebih banyak pilihan tanpa rasa bersalah setiap kali ingin mencuba fragrance baharu.

Satu lagi perkara yang saya sangat suka ialah saiz botol decant yang kecil dan comel. Ia sangat mudah dibawa ke mana-mana, sama ada dimasukkan ke dalam beg kerja, beg galas, atau ketika travel. Kalau saya keluar dari rumah pada waktu pagi dan ingin reapply perfume pada waktu petang atau malam, saya hanya perlu keluarkan botol kecil tersebut tanpa perlu membawa full bottle yang lebih besar, berat dan berisiko pecah. Ringkas, praktikal dan sangat convenient untuk kegunaan harian.

Kesimpulannya, pengalaman pertama saya mencuba perfume decant memang sangat positif. Apa yang pada mulanya saya pandang dengan rasa ragu-ragu, akhirnya menjadi satu cara yang menyeronokkan untuk meneroka dunia wangian. Bagi saya, decant bukanlah pengganti kepada full bottle, tetapi ia adalah satu pilihan yang bijak untuk mencuba, mengenali dan menikmati pelbagai fragrance tanpa perlu berbelanja terlalu banyak.

Cuma satu nasihat daripada saya, buat sedikit homework sebelum membeli. Pilih seller yang mempunyai reputasi yang baik, baca review daripada pembeli lain dan jangan mudah terpedaya dengan harga yang terlalu murah. Dalam dunia perfume, kepercayaan kepada penjual adalah perkara yang paling penting.

Akhir kata, ini hanyalah perkongsian berdasarkan pengalaman peribadi saya sebagai seorang yang baru berjinak-jinak dengan dunia perfume decant. Mungkin selepas ini saya akan berkongsi pula tentang fragrance-fragrance yang sempat saya cuba, mana yang saya suka, mana yang kurang sesuai dengan citarasa saya, dan mungkin juga ada beberapa hidden gems yang berbaloi untuk dicuba. Mana tahu, perkongsian ini boleh membantu anda menemui “signature scent” anda sendiri. Selamat mencuba dan semoga anda menemui wangian yang benar-benar serasi dengan diri anda!


Wednesday, July 01, 2026

Price Up, Bukan Sekadar Apple

 




Kenaikan harga ialah sesuatu yang tidak digemari oleh kebanyakan pengguna. Sama ada melibatkan barangan keperluan harian, perkhidmatan, atau produk teknologi, kenaikan harga sering menimbulkan rasa yang kurang senang. Ini kerana ia memberi kesan kepada perancangan kewangan dan kuasa beli pengguna.

Begitu juga dengan kenaikan harga produk Apple di Malaysia baru-baru ini. Ramai pengguna mungkin melihat perkara ini sebagai isu yang hanya melibatkan Apple. Namun, secara umum, kenaikan harga ini boleh dilihat sebagai sebahagian daripada perubahan yang lebih besar dalam pasaran teknologi, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat global.

Kenaikan harga ini bukanlah melibatkan Apple sahaja. Tekanan kos yang sama sebenarnya sedang dirasai oleh industri teknologi. Laporan The Star menyatakan bahawa harga RAM di Malaysia telah meningkat disebabkan permintaan tinggi terhadap infrastruktur AI. Ini berlaku apabila pembekal memberi keutamaan kepada data center dan teknologi AI. Keadaan ini memberi kesan kepada harga komponen komputer seperti RAM dan storan, yang akhirnya boleh mempengaruhi harga komputer riba, telefon pintar, tablet dan electronic device lain di pasaran tempatan.

Di peringkat global pula, Reuters melaporkan bahawa kenaikan harga cip memori memberi tekanan kepada pengeluar elektronik pengguna, termasuk komputer peribadi, telefon pintar dan konsol permainan. Laporan tersebut turut menyebut bahawa pengeluar seperti HP, Dell, Lenovo, berdepan cabaran kos yang semakin tinggi, dan sebahagian kos ini berkemungkinan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga atau pengurangan promosi. Ini bermakna pengguna di Malaysia juga berpotensi merasai kesannya, bukan sahaja ketika membeli produk Apple, tetapi juga apabila membeli laptop Windows-based, telefon Android, komponen PC, peranti permainan dan aksesori teknologi lain.

Sebagai seorang yang banyak menggunakan teknologi dalam urusan kerja seharian, perkembangan ini sememangnya memberi kesan kepada saya jika ingin membeli new device. Laptop, tablet, smartphone, external storage dan cloud services bukan lagi sekadar alat tambahan, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada keperluan kerja harian. Dalam konteks kerja saya, teknologi digunakan untuk menyediakan bahan pengajaran, mengurus dokumen, menghadiri online meeting, berkomunikasi dengan pelajar dan rakan sekerja, serta menyimpan dan mengakses maklumat dengan lebih cepat.

Oleh itu, apabila harga produk teknologi meningkat, ia bukan sekadar isu lifestyle atau keinginan untuk memiliki gadget baharu. Bagi pengguna seperti saya, kenaikan harga ini turut memberi kesan kepada work planning, productivity dan keputusan untuk upgrade peranti sedia ada. Pembelian teknologi perlu dibuat dengan lebih berhati-hati, bukan sahaja berdasarkan jenama, tetapi juga berdasarkan real needs, device durability, software support, storage capacity dan long term value.

Akhir kata, sebagai pengguna, sudah tentu kita berharap agar harga produk teknologi akan kembali lebih stabil dan mampu milik pada masa akan datang. Sekiranya tekanan terhadap kos komponen seperti memory, storage dan chip semakin reda, diharapkan harga device di Malaysia juga dapat turun atau sekurang-kurangnya tidak terus meningkat. Dalam masa yang sama, pengguna juga berharap agar jenama-jenama teknologi dapat menawarkan pilihan yang lebih berpatutan, lebih banyak promotion, serta spesifikasi yang masih sesuai dengan keperluan kerja, pembelajaran dan kehidupan digital seharian.

Bagi saya, teknologi sepatutnya membantu memudahkan kerja dan meningkatkan output kerja, bukan menjadi beban kewangan yang terlalu berat kepada pengguna. Harapan saya, pasaran teknologi akan kembali lebih seimbang, supaya pengguna di Malaysia masih boleh mendapatkan device yang berkualiti, tahan lama dan bernilai untuk jangka panjang tanpa perlu berbelanja secara berlebihan.

Monday, June 08, 2026

FIFA World Cup 2026

 




Piala Dunia FIFA 2026 merupakan edisi ke-23 kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia yang dianjurkan oleh FIFA. Buat pertama kalinya dalam sejarah, kejohanan ini akan dihoskan bersama oleh tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico. Piala Dunia 2026 juga bakal mencipta sejarah dengan penyertaan 48 pasukan kebangsaan, berbanding 32 pasukan dalam edisi sebelumnya. Kejohanan ini dijangka menghimpunkan jutaan peminat bola sepak dari seluruh dunia untuk menyaksikan aksi terbaik pemain dan pasukan negara masing-masing dalam merebut trofi paling berprestij dalam sukan bola sepak antarabangsa.

Apabila menyebut tentang World Cup, saya pasti akan terkenang kembali edisi-edisi terdahulu yang menjadi sebahagian daripada memori zaman kanak-kanak. Pengalaman pertama saya menonton Piala Dunia secara langsung di televisyen ialah ketika FIFA World Cup Mexico 1986. Pada ketika itu, saya masih kecil, tetapi kehangatan kejohanan tersebut masih segar dalam ingatan.

Zaman itu merupakan era lagenda bola sepak dunia, terutamanya Diego Armando Maradona yang memimpin Argentina muncul juara. Bagi peminat bola sepak generasi 1980-an, nama Maradona bukan sekadar seorang pemain, tetapi satu fenomena. Aksi beliau yang penuh skill, creativity dan leadership menjadikan Mexico 1986 antara edisi World Cup yang paling diingati sehingga hari ini.

Ketika itu, menonton World Cup bukan semudah sekarang. Tiada internet, tiada media sosial, dan tiada live streaming di telefon pintar. Kami menunggu siaran di televisyen, membaca laporan perlawanan di akhbar keesokan harinya, dan berbincang dengan rakan-rakan tentang jaringan cantik atau keputusan mengejut. Walaupun serba sederhana, suasana dan excitement yang dirasai sangat istimewa.

Pergi pula ke World Cup 1990 di Italy. Saya dia sekolah asrama penuh kita itu. Dapat tengok di TV, iaitu di bilik TV bersama rakan-rakan, junior dan senior. Zaman ni pula saya aktif main bola, wakil sekolah. Beli kasut but Puma Maradona, sebelum tu beli Patrick Michael Laudrup tapi tak selesa, in the end beli Puma Maradona. Tak semua game World Cup masa ni dapat tengok sebab duduk di sekolah asrama.

Di World Cup 1994, saya dah duduk di rumah. Masa ni dah kerja selepas SPM di sebuah universiti sebagai kerani. Masih saya ingat, saya dah kawan saya layan game Brazil vs Netherlands di TV. Masa ni terpaksa tahan mengantuk di ofis sebab berjaga malam nak tengok bola. 

Tiba zaman World Cup 1998, saya dah di rumah sewa, sambung belajar di ITM. Layan bola bersama kawan kawan serumah. Zaman ni Zidane mengganas. Dan bila World Cup 2002, saya dah kembali kerja dengan ijazah. World Cup 2002 ni di Jepun/Korea dan waktu tak banyak beza. Ada game yang petang waktu pejabat. Jam 2-3 petang. TV pulak depan bilik bos. Zaman ni masih tak boleh tengok di internet, walaupun internet dah ada di PC Ofis. Boss pun kaki bola, cuma dia jeling-jeling je TV di luar bilik dia. Kami pun jeling-jeling juga. Zaman ni Ronaldo Brazil mengganas. 

World Cup 2006 hingga World Cup sekarang, dah layan di rumah bersama isteri. Dia bukan kaki bola, jadi saya je yang bangun sendiri tengok bola. Masa tu dah ada Astro, tapi saya tak ingat bila start World Cup ni ditayang di Astro sebab seingat saya masih ada game yang ditayangkan di chanel bukan Astro waktu tu.

Fast forward menjelang FIFA World Cup 2026, kenangan-kenangan lama itu kembali bermain di fikiran. Dari Mexico 1986 sehingga ke hari ini, World Cup bukan sekadar kejohanan bola sepak, tetapi sebuah peristiwa global yang menghubungkan generasi peminat dari seluruh dunia melalui minat yang sama terhadap sukan yang paling popular di muka bumi ini.

Dan setiap kali tiba musim World Cup, saya sedar usia saya pun semakin meningkat di muka bumi ini. Edisi kali ini mengingatkan saya pada edisi 1986 dan 1994, dimana time difference adalah sama. 1986 final saya tonton di kantin sekolah. Ketika itu saya sampai sekolah sekitar 7 pagi dan join sekali abang-abang kantin tengok final Argentina vs West Germany. 

Apabila menyebut World Cup 1986, saya juga teringat kepada album pelekat Panini Mexico 86 yang menjadi kegilaan kanak-kanak pada ketika itu. Saya masih ingat bagaimana kami membeli pek pelekat di kedai, berharap mendapat pemain-pemain terkenal seperti Maradona, Platini atau Zico. Jika dapat pelekat yang sama, kami akan bertukar dengan rakan-rakan di sekolah. Saya tak beli album, hanya pek sticker yang saya beli dengan duit belanja sekolah dan tampal di buku tulis kosong. Itu sahaja yang saya mampu ketika itu. 

Pada zaman itu, tiada internet, tiada media sosial dan tiada YouTube. Album Panini menjadi salah satu cara untuk mengenali pemain-pemain dari seluruh dunia. Setiap kali berjaya menampal satu pelekat ke dalam album, terasa satu kepuasan yang sukar digambarkan. 

Thursday, May 07, 2026

Perjalanan Yang Belum Selesai

 



Hari Pekerja yang disambut pada setiap 1 Mei merupakan simbol penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan golongan pekerja dalam membangunkan organisasi, masyarakat, dan negara. Sambutan ini mengingatkan kita bahawa kejayaan sesebuah institusi bukan sahaja bergantung kepada teknologi dan sistem, tetapi juga kepada komitmen, dedikasi, dan usaha berterusan para pekerja dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Pada tahun ini, 1 Mei jatuh pada hari Jumaat dan saya pula telah siap-siap mengambil cuti pada hari Rabu dan Khamis untuk menyelesaikan beberapa perkara. Ini kerana saya seperti dapat merasakan bahawa sesuatu. Kadangkala hati ini dapat merasakan sesuatu sebelum ia benar-benar berlaku. Saya merasakan akan hadir satu tanggungjawab yang baharu, yang perlu saya pikul. 

Ternyata benar telahan saya. Pada hari Khamis saya telah mendapat pesanan whatsapp berkenaan perkara ini. Surat juga telah keluar pada hari Khamis, namun memandangkan saya cuti, surat tersebut hanya saya ambil pada hari Isnin. Namun di era digital ini, surat softcopy telah pun saya terima pada hari Khamis. 

Tanggungjawab baru yang diberi amanah kepada saya ini mempunyai perbezaan dari yang sebelum - sebelum ini. Jika sebelum ini saya lebih kepada development, leadership, wellbeing dan entrepreneurship undergrad students, kali ini ianya berbeza. Tidak dinafikan saya pernah juga berada di pejabat yang sama, namun terdapat sedikit perbezaan waktu itu dimana saya hanya menjaga a portion of it.

Kali ini pula, saya kena jaga all of it. Maknanya di sini, kerja bertambah banyak. Selepas ini langkah akan menjadi lebih sibuk dan waktu akan terasa semakin singkat. Namun, sedikit pengalaman daripada perjalanan lalu akan saya jadikan bekalan untuk terus melangkah dan mengharungi amanah ini, dengan izin Allah. Saya percaya setiap amanah datang bersama hikmah dan peluang untuk belajar.

Dalam kehidupan, setiap fasa membawa cabaran dan tanggungjawab yang berbeza. Kadangkala kita tidak pernah benar-benar bersedia, tetapi kehidupan mengajar kita untuk belajar sambil melangkah.


Monday, April 13, 2026

Data Dalam SSD Boleh “Pudar”?

 




Dalam era digital masa kini, ramai di antara kita menggunakan SSD (Solid State Drive) untuk simpan data, sama ada untuk kerja, research, ataupun simpan file lama atau archiving old data. SSD memang terkenal dengan kelajuan tinggi, ringan, dan tahan lasak berbanding hard disk tradisional. Saya juga tak terkecuali menggunakan SSD untuk simpan data malah ada yang saya jadikan archive yang itu simpan data lama untuk long term preservation. 

Tetapi, ada satu persoalan yang jarang dibincangkan which is adakah selamat untuk kita simpan data dalam SSD untuk jangka masa yang panjang (Cold Storage). Ramai anggap selagi SSD tak rosak secara fizikal, data akan kekal selamanya. Namun, secara teknikal, SSD menyimpan data dalam bentuk electrical charge dalam NAND flash memory. Ini bermaksud, apabila SSD tidak digunakan atau tidak dibekalkan kuasa untuk tempoh yang lama, cas tersebut boleh berkurang sedikit demi sedikit. Ini berpotensi menyebabkan data degradation atau corruption.

Menurut standard industri seperti JEDEC, SSD pengguna biasa (consumer SSD) dianggarkan boleh mengekalkan data sekitar 1 tahun dalam keadaan tidak berkuasa, bergantung kepada faktor seperti suhu, jenis NAND, dan tahap penggunaan SSD tersebut. Makna tidak berkuasa ini ialah SSD terbabit langsung tidak disambungkan ke mana-mana Laptop, Desktop atau apa-apa device dalam masa setahun. 

Namun untuk menyatakan bahawa SSD tidak sesuai untuk simpan data dalam tempoh jangka masa yang panjang secara 'Cold Storage' bukanlah sesuatu yang tepat 100%. Ianya bergantung kepada strategi kita. Perlu diingat, istilah Cold Storage yang dimaksudkan di sini ialah membiarkan SSD terbabit di suatu tempat tanpa sebarang sambungan ke mana-mana device pada jangka masa yang panjang. 

Beberapa laman web ada membincangkan berkenaan isu penyimpanan SSD ini. Boleh rujuk di sini dan di sini. 

Seperti CD yang disimpan di rak dan hanya sesekali digunakan, 2-3 tahun sekali atau tak guna langsung selamanya, begitulah istilah Cold Storage pada SSD.  Jadi, adakah ini bermaksud SSD tidak sesuai untuk simpan data lama? Tidak semestinya.

SSD masih sangat selamat untuk penggunaan harian, tetapi untuk tujuan long-term archival, kita perlu faham limitasi teknologi ini dan amalkan strategi backup yang betul.

Walaupun SSD sangat laju dan reliable untuk penggunaan harian, kita perlu faham bahawa SSD bukan direka khusus untuk long-term cold storage tanpa power. Jadi, strategi backup yang betul sangat penting untuk elakkan kehilangan data. Ramai orang keliru antara “storage” dan “backup”. Storage ialah tempat data disimpan dan Backup ialah salinan data untuk perlindungan. “If your data exists in only one place, it is not a backup.”

Gunakan prinsip 3-2-1 Backup Ini adalah standard yang digunakan secara meluas:

• 3 salinan data

• 2 jenis storage berbeza

• 1 disimpan di lokasi lain (off-site)

Contoh praktikal:

• Mac / laptop (primary)

• External SSD (backup 1)

• External HDD / cloud (backup 2, off-site)

Bila SSD sesuai sebagai backup? SSD sangat sesuai untuk:

• Backup active data

• Backup yang kerap diakses

• Backup yang perlukan kelajuan tinggi

Tetapi kurang sesuai untuk:

• Simpan lama tanpa digunakan

• Archive bertahun-tahun tanpa power

Paling penting kalau nak simpan SSD lama, elakkan “cold storage” terlalu lama. Jika anda guna SSD untuk simpan file lama, amalkan perkara dibawah:-

• Connect SSD setiap 2–3 bulan

• Biarkan powered selama 10–30 minit

• Buka beberapa file (optional, tapi bagus)

Ini membantu:

• Refresh data dalam NAND

• Kurangkan risiko data degradation


Gabungkan SSD dengan HDD (best practice). Strategi terbaik ialah SSD untuk speed & convenience dan HDD untuk long-term archival. SSD untuk simpan working file atau recent backup dan HDD untuk simpan archive lama (jarang akses)

Tambah satu layer cloud (optional tapi recommended) untuk file penting. Ini sangat berguna untuk lindungi dari kerosakan fizikal dan sebagai backup jika HDD atau SSD kita hilang/ rosak.

Amalkan backup secara berkala. Jangan tunggu sampai ada masalah baru nak backup. Buatlah weekly atau monthly backup. Simpan SSD dengan betul. Faktor persekitaran juga penting. Elakkan panas tinggi. Elakkan kelembapan. Simpan di tempat kering & sejuk

SSD adalah teknologi yang sangat baik, tetapi bukan “set and forget” untuk jangka masa panjang. Dengan strategi backup yang betul, kita boleh manfaatkan kelajuan SSD tanpa mengorbankan keselamatan data.

Dalam dunia digital, kita selalu menganggap data itu kekal, simpan sekali, selamat selamanya. Namun hakikatnya, sama seperti memori manusia, data juga boleh pudar jika tidak dijaga dengan betul. SSD sebenarnya mengajar kita satu perkara yang menarik: walaupun teknologi semakin canggih, ia masih ada had dan batasan, dan sesuatu yang tidak disentuh atau diurus dalam tempoh yang lama berisiko untuk hilang. 

Keadaan ini sangat mirip dengan kehidupan kita, di mana hubungan yang tidak dijaga boleh menjadi renggang, ilmu yang tidak diamalkan boleh dilupakan, dan kenangan yang tidak dihargai boleh menjadi semakin pudar. Dalam konteks ini, strategi backup bukan sekadar isu teknikal, tetapi mencerminkan kesedaran bahawa kita perlu bersedia menghadapi risiko dan ketidakpastian. Apa sahaja yang kita anggap penting, sama ada data, ilmu, atau hubungan, memerlukan perhatian dan penjagaan yang berterusan. Akhirnya, prinsipnya tetap sama. Jangan letakkan semuanya di satu tempat, jangan tunggu sehingga rosak baru bertindak, dan sentiasa hargai apa yang kita miliki sebelum ia hilang.