Thursday, February 13, 2025

Tahun 2025 First Post

 



Tahun 2025 saya diberi tanggungjawab baru yang menyebabkan komitmen terhadap kerja semakin berat dan bertambah. Ada pelbagai mesyuarat yang perlu saya hadiri sebagai ahli, dan skop penugasan saya juga semakin meluas. Jika sebelum ini saya hanya fokus kepada ruang kepimpinan dan aktiviti pelajar, kini saya juga perlu lihat kebajikan pelajar. Bukan itu sahaja, saya juga perlu memikirkan pelbagai perkara lagi yang berkaitan dengan pelajar. 

Ini menyebabkan blog ini juga terbengkalai. Banyak juga perkara-perkara yang pada mulanya ingin saya kongsikan, namun memikirkan implikasi perkara yang ingin saya kongsi, akhirnya saya batalkan hasrat saya. 

Saya melihat apa yang berlaku pada saya di tahun 2025 ini merupakan satu cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya. Saya juga bertanggungjawab terhadap orang di bawah pimpinan saya. Alhamdulillah saya diberikan tiga orang ketua unit, tiga koordinator dan tiga kerani yang sangat bagus dan berdedikasi. Mereka banyak membantu saya menggerakkan segala perancangan dan pelaksaaan tugas.

Amanah bermaksud tanggungjawab yang diberikan perlu dijalankan dengan jujur dan adil. Dalam Islam, kepimpinan dianggap sebagai satu amanah besar yang akan dipersoalkan di akhirat. Rasulullah ﷺ bersabda:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya.” (HR. Bukhari & Muslim)

Maka, seorang pemimpian perlu memastikan segala keputusan yang dibuat adalah demi kebaikan semua, bukan kepentingan peribadi.

Kesan Kepimpinan yang Amanah dan Bertanggungjawab

• Membina kepercayaan dan kesetiaan dalam pasukan.

• Meningkatkan produktiviti dan keharmonian dalam organisasi.

• Mendapat keberkatan dan doa daripada mereka yang dipimpin.

Sebaliknya, jika kepimpinan tidak dijalankan dengan amanah, ia boleh membawa kepada kezaliman, ketidakadilan, dan ketidakstabilan dalam organisasi. Oleh itu, setiap pemimpin harus sentiasa bermuhasabah dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti serta keikhlasan.

Semoga kita semua dapat menjadi pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab dalam apa jua tugas yang dipikul. 



No comments:

Post a Comment