Thursday, March 27, 2025

Sesak di Bulan Ramadan

 


Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan bagi umat Islam di seluruh dunia. Ia bukan sekadar bulan berpuasa, tetapi juga waktu untuk memperbanyakkan ibadah, meningkatkan keimanan, dan memperbaiki diri. Sepanjang bulan ini, umat Islam berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari sebagai tanda ketaatan kepada Allah SWT. Ramadan juga menjadi peluang untuk mengeratkan silaturrahim, memperbanyakkan sedekah, serta meraih keampunan dan rahmat Ilahi.

Memandu ke tempat kerja pada bulan Ramadan pula memerlukan sedikit adjustment masa dimana saya melihat orang ramai terutama orang Islam akan pergi dan pulang ke tempat kerja pada masa yang hampir serentak. Jika di luar bulan Ramadan, pukul 6.30 atau 6.45 pagi membolehkan saya tiba di pejabat saya dalam masa 30 minit, tetapi di bulan Ramadan, saya terpaksa keluar jam 7.30 pagi dan waktu ini lalulintas tidak berapa sesak, hanya di tempat tertentu sahaja sedikit sesak. 

Berbeza pula dengan waktu pulang ke rumah, jika terlewat sikit, perlu tunggu semaksima lewat barulah kenderaan kurang di atas jalan. Contohnya jika saya terlewat sedikit saja dari jam 5, ada baiknya saya tunggu sekitar jam 6.50 barulah bergerak pulang. Jam 4 lebih kenderaan sudah mula banyak.

Walau apa pun waktu yang kita pilih untuk bergerak pergi dan pulang, yang penting kita selamat sampai ke destinasi. 

Thursday, February 13, 2025

Tahun 2025 First Post

 



Tahun 2025 saya diberi tanggungjawab baru yang menyebabkan komitmen terhadap kerja semakin berat dan bertambah. Ada pelbagai mesyuarat yang perlu saya hadiri sebagai ahli, dan skop penugasan saya juga semakin meluas. Jika sebelum ini saya hanya fokus kepada ruang kepimpinan dan aktiviti pelajar, kini saya juga perlu lihat kebajikan pelajar. Bukan itu sahaja, saya juga perlu memikirkan pelbagai perkara lagi yang berkaitan dengan pelajar. 

Ini menyebabkan blog ini juga terbengkalai. Banyak juga perkara-perkara yang pada mulanya ingin saya kongsikan, namun memikirkan implikasi perkara yang ingin saya kongsi, akhirnya saya batalkan hasrat saya. 

Saya melihat apa yang berlaku pada saya di tahun 2025 ini merupakan satu cabaran dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya. Saya juga bertanggungjawab terhadap orang di bawah pimpinan saya. Alhamdulillah saya diberikan tiga orang ketua unit, tiga koordinator dan tiga kerani yang sangat bagus dan berdedikasi. Mereka banyak membantu saya menggerakkan segala perancangan dan pelaksaaan tugas.

Amanah bermaksud tanggungjawab yang diberikan perlu dijalankan dengan jujur dan adil. Dalam Islam, kepimpinan dianggap sebagai satu amanah besar yang akan dipersoalkan di akhirat. Rasulullah ﷺ bersabda:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap yang dipimpinnya.” (HR. Bukhari & Muslim)

Maka, seorang pemimpian perlu memastikan segala keputusan yang dibuat adalah demi kebaikan semua, bukan kepentingan peribadi.

Kesan Kepimpinan yang Amanah dan Bertanggungjawab

• Membina kepercayaan dan kesetiaan dalam pasukan.

• Meningkatkan produktiviti dan keharmonian dalam organisasi.

• Mendapat keberkatan dan doa daripada mereka yang dipimpin.

Sebaliknya, jika kepimpinan tidak dijalankan dengan amanah, ia boleh membawa kepada kezaliman, ketidakadilan, dan ketidakstabilan dalam organisasi. Oleh itu, setiap pemimpin harus sentiasa bermuhasabah dan menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti serta keikhlasan.

Semoga kita semua dapat menjadi pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab dalam apa jua tugas yang dipikul.