Thursday, July 04, 2024

Kepimpinan Pelajar Universiti

 



Apabila seseorang itu memasuki alam pembelajaran di universiti, beliau sebenarnya bukan sahaja belajar secara formal di kolej atau fakulti tempat beliau berada, tetapi aspek pembelajaran ini juga akan berlaku di luar kelas. Universiti membolehkan beliau memperolehi pendidikan yang berkualiti dimana ada pelbagai subjek dan program yang ditawarkan. Selain itu, terdapat aktiviti kokurikulum yang boleh diikuti. Tak terkecuali juga peluang untuk menjalinkan 'networking' bukan sahaja dengan industri setempat malah juga industri global. Secara tidak langsung ini membantu perkembangan peribadai seseorang. 

Terdapat juga pelbagai peluang untuk melatih kepimpinan seseorang. Ciri kepimpinan sebenarnya amat penting untuk seseorang pelajar universiti kerana bakal majikan kebiasaannya mencari pelajar yang mempunyai ciri kepimpinan selain dari CGPA, sebagai bakal pekerja mereka. Dengan adanya ciri kepimpinan , pelajar bakal memperolehi skill untuk menyelesaikan masalah, tidak mempunyai masalah untuk berkolaborasi dan bekerja dalam satu pasukan, mempunyai skill komunikasi yang efektif, mempunyai keyakinan diri yang tinggi, mampu menguruskan masa serta mempunyai jaringan dengan pelbagai sektor industri dan juga masyarakat. 

Chesnut dan Tran-Johnson telah menjalankan kajian berkenaan impak pada program kepimpinan pelajar terhadap pelajar di dalam bidang farmasi. Kajian ini telah dijalankan pada tahun 2013 dan ianya memberi fokus kepada kumpulan pelajar bidang farmasi yang menyertai 'Student Leadership Development Series' (SLDS). Program SLDS ini meliputi perjumpaan bulanan, sesi bersama penceramah jemputan, sesi perbincangan di dalam kumpulan kecil,aktiviti pembentangan poster dan juga aktiviti kepimpinan yang lain. SLDS juga memberikan 'biasiswa perjalanan' kepada para peserta.  Peserta komited untuk bertemu selama 2 jam setiap bulan sepanjang 1 tahun akademik. Peserta juga akan dinilai untuk melihat keberkesanan program kepimpinan ini.

Seratus lima puluh sembilan pelajar menamatkan program ini dari 2007-2013, dengan kira-kira 25 pelajar mengambil bahagian setiap tahun. Perkembangan kepimpinan pelajar dinilai melalui beberapa kaedah seperti borang pelaksanaan bulanan, pembentangan poster, penciptaan platform kepimpinan peribadi mereka, dan refleksi biasiswa perjalanan yang digunakan.

Enam puluh dua peratus peserta program menjawab borang penilaian yang diberi, dengan penarafan meningkat dari semasa ke semasa. Pelajar percaya program ini menyediakan mereka untuk menjadi pemimpin yang berjaya. Pelajar juga memahami berkenaan diri mereka sendiri sebagai pemimpin serta mengasah bakat mereka menjadi mentor.

Kajian Chesnut dan Tran-Johnson ini yang bertajuk Impact of a Student Leadership Development Program yang dimuatkan di dalam American Journal of Pharmaceutical Education dan diterbitkan pada tahun 2013 ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa program kepimpinan di kalangan pelajar universiti memberi hasil yang positif. Ia menyediakan pelajar peluang untuk meneroka teknik dan gaya kepimpinan yang sesuai untuk setiap pelajar serta memberi pemahaman yang lebih tentang pelbagai aspek kepimpinan. Ini secara tidak langsung meningkat keinginan para pelajar ini untuk menjawat jawatan sebagai seorang ketua apabila mereka keluar bekerja nanti. Program ini juga secara positifnya mempengaruhi perkembangan kepimpinan pelajar. Chesnut dan Tran-Johnson juga menyatakan bahawa kekuatan program SDLS membolehkan pelajar mengenal pasti gaya kepimpinan mereka, membina hubungan, menyelesaikan masalah, mengatasi halangan dan peluang untuk mempraktikkan ilmu dan skill kepimpinan yang diperolehi.

Kajian yang dijalankan pada tahun 2013 dan tertumpu pada pelajar dalam bidang farmasi ini boleh digunakan pada pelajar universiti di dalam bidang lain. Boleh dikatakan kesemua bidang yang ada di universiti memerlukan pelajar-pelajar yang berkemahiran untuk memimpin. Walaupun kajian ini telah hampir 10 tahun berlalu, kaedah dan juga output kajian ini masih kekal relevan cuma kemungkinan jika ada kajian baru yang ingin dilakukan pada zaman sekarang, ia perlu mengambil kira teknologi-teknologi yang ada pada masa kini dan kesannya pada aspek kepimpinan pelajar masa kini. 

Rujukan:-

Chesnut, R., & Tran-Johnson, J. (2013). Impact of a Student Leadership Development Program. American Journal of Pharmaceutical Education, 77(10), 225. https://doi.org/10.5688/ajpe7710225


No comments:

Post a Comment