Saturday, June 15, 2024

Phygital dan Persekitan Teknologi Digital Di Tempat Kerja

 


Antara kegemaran saya ialah meneroka artikel-artikel yang terkandung di dalam pangkalan data atas talian yang diberi oleh tempat kerja saya secara selama mana saya masih bekerja disini. Saya perlu ambil kesempatan ini kerana jika di luar, bayaran untuk akses database sebegini adalah mahal. Selain itu sebagai ahli akademik, saya perlu sentiasa mengemaskini pengetahuan saya agar ia sentiasa relevan dengan dunia semasa.

Istilah 'phygital' saya jumpa ketika meneroka dan membaca satu artikel penyelidikan berkenaan persekitaran digital di tempat kerja. Secara mudahnya, phygital adalah gabungan bersemuka dan digital atau bahasa mudahnya, pengalaman face to face dan digital. Ia dikatakan mampu memberi pengalaman yang lebih hebat. 

Antara pengalaman phygital ini ialah restoran fast food yang mempunyai digital kiosk untuk order menu. Ataupun makan di restoran tetapi order menggunakan QR yang diberi. Ada juga menu yang membolehkan kita bayar terus secara online tanpa perlu ke kaunter. Sedar-sedar makanan dah dihantar ke kita, dan selesai makan kita boleh terus tinggalkan tempat makan kita. 

Selain dari pengalaman phygital di restoran, tempat kerja kita pun sebenarnya mempunyai elemen phygital. Satu kajian telah dijalankan oleh Anne Karhapaa, Pauliina Rikala, Johanna Poysa Tarhonen dan Raija Hamalainen berkenaan persekitaran digital di tempat kerja ini. Kajian yang diterbitkan pada tahun ini di Journal of Workplace Learning, meneroka penggabungan persekitaran sosial, fizikal dan digital di tempat kerja, serta memberi penekanan terhadap impak dan kesan teknologi digital terhadap pembelajaran tidak formal di tempat kerja.

Konsep tempat kerja berkembang dan telah melibatkan persekitaran digital bersama persekitaran fizikal, mewujudkan satu terma baru yang digelar phygital. Persekitaran kerja digital terdiri daripada rangkaian teknologi dan manusia yang kompleks, menawarkan kedua-dua peluang dan cabaran untuk pembelajaran tidak formal di tempat kerja. Budaya organisasi secara tidak langsung memainkan peranan penting dalam menyokong pembelajaran tidak formal di tempat kerja dalam persekitaran kerja fizikal. Teknologi digital meluaskan peluang pembelajaran tetapi juga boleh menyekat pembelajaran jika tidak digunakan dengan berkesan. Memahami peranan persekitaran digital dalam pembelajaran di tempat kerja adalah penting bagi organisasi untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyokong pekerja. Konsep persekitaran kerja phygital boleh meembantu tempat kerja dalam memanfaatkan elemen digital, fizikal dan sosial untuk meningkatkan peluang pembelajaran.

Karhapaa dan rakan-rakan mendapati bahawa :-

Persekitaran kerja digital menawarkan fleksibeliti untuk berinteraksi, bekerjasama dan akses kepada maklumat

Cabaran dalam persekitaran tempat kerja digital termasuk lambakan maklumat atau information overload dan juga keupayaan staf untuk belajar skil baru berkaitan teknologi digital.

Terdapat juga cabaran yang terhasil akibat lambakan maklumat iaitu kesukaran untuk mendapatkan maklumat yang relevan dan menguruskan lambakan maklumat yang berterusan tanpa henti.

Pembelajaran di tempat kerja dipengaruhi oleh individu dan situasi yang dihadapi, dengan teknologi digital memainkan peranan penting.

Teknologi digital membantu komunikasi dan kolaborasi dalam organisasi. 

Mesyuarat atas talian memberikan peluang untuk pembelajaran pasif serta multitasking. 

Media sosial mampu digunakan sebagai medium untuk networking dan professional development.

Alatan digital seperti screensharing, chat interface dan fungsi reaksi dapat mempertingkatkan komunikasi dan kolaborasi.

Diskusi atas talian secara adhoc atau tak formal memudahkan sokongan dari rakan sekerja dan juga perkongsian maklumat dan pengetahuan.

Pekerja mengadaptasi perubahan yang berterusan di alam persekitaran digital menerusi latihan formal yang diberikan serta pembelajaran tidak formal dari rakan sekerja.

Budaya organisasi dan juga amalan berkongsi pengetahuan didapati membantu pembelajaran tidak formal di tempat kerja.


Sebenarnya, berdasarkan dari kajian yang dijalankan oleh Karhapaa dan rakan-rakan, perkara sebegini juga dilalui di organisasi tempat saya bekerja. Lambakan maklumat yang tidak henti kadangkala menyebabkan ada maklumat yang tertinggal. Ada juga teknologi digital yang saya kurang mahir tetapi terpaksa digunakan. Contohnya saya sudah selesa menggunakan Google Meet untuk online presentation tetapi kadangkala terpaksa guna Cisco Webex dan Zoom. Mujurlah rakan sekerja yang mahir gunakan Webex atau Zoom mengajar saya. Ini secara tidak langsung merupakan satu bentuk pembelajaran tidak formal di tempat kerja. 

Secara ringkasnya, seperti yang dilihat olej Karhapaa dan rakan-rakannya ketika menjalankan kajian, teknologi digital banyak membantu kerja di organisasi. Ia juga secara tidak langsung menyokong pembelajaran tidak formal di kalangan pekerja. Dan yang lebih indah, teknologi digital di persekitaran tempat kerja mempunyai elemen phygital yang mampu memberikan satu bentuk pengalaman yang lebih hebat dan mengkagumkan. 

No comments:

Post a Comment