Saturday, June 15, 2024

Phygital dan Persekitan Teknologi Digital Di Tempat Kerja

 


Antara kegemaran saya ialah meneroka artikel-artikel yang terkandung di dalam pangkalan data atas talian yang diberi oleh tempat kerja saya secara selama mana saya masih bekerja disini. Saya perlu ambil kesempatan ini kerana jika di luar, bayaran untuk akses database sebegini adalah mahal. Selain itu sebagai ahli akademik, saya perlu sentiasa mengemaskini pengetahuan saya agar ia sentiasa relevan dengan dunia semasa.

Istilah 'phygital' saya jumpa ketika meneroka dan membaca satu artikel penyelidikan berkenaan persekitaran digital di tempat kerja. Secara mudahnya, phygital adalah gabungan bersemuka dan digital atau bahasa mudahnya, pengalaman face to face dan digital. Ia dikatakan mampu memberi pengalaman yang lebih hebat. 

Antara pengalaman phygital ini ialah restoran fast food yang mempunyai digital kiosk untuk order menu. Ataupun makan di restoran tetapi order menggunakan QR yang diberi. Ada juga menu yang membolehkan kita bayar terus secara online tanpa perlu ke kaunter. Sedar-sedar makanan dah dihantar ke kita, dan selesai makan kita boleh terus tinggalkan tempat makan kita. 

Selain dari pengalaman phygital di restoran, tempat kerja kita pun sebenarnya mempunyai elemen phygital. Satu kajian telah dijalankan oleh Anne Karhapaa, Pauliina Rikala, Johanna Poysa Tarhonen dan Raija Hamalainen berkenaan persekitaran digital di tempat kerja ini. Kajian yang diterbitkan pada tahun ini di Journal of Workplace Learning, meneroka penggabungan persekitaran sosial, fizikal dan digital di tempat kerja, serta memberi penekanan terhadap impak dan kesan teknologi digital terhadap pembelajaran tidak formal di tempat kerja.

Konsep tempat kerja berkembang dan telah melibatkan persekitaran digital bersama persekitaran fizikal, mewujudkan satu terma baru yang digelar phygital. Persekitaran kerja digital terdiri daripada rangkaian teknologi dan manusia yang kompleks, menawarkan kedua-dua peluang dan cabaran untuk pembelajaran tidak formal di tempat kerja. Budaya organisasi secara tidak langsung memainkan peranan penting dalam menyokong pembelajaran tidak formal di tempat kerja dalam persekitaran kerja fizikal. Teknologi digital meluaskan peluang pembelajaran tetapi juga boleh menyekat pembelajaran jika tidak digunakan dengan berkesan. Memahami peranan persekitaran digital dalam pembelajaran di tempat kerja adalah penting bagi organisasi untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyokong pekerja. Konsep persekitaran kerja phygital boleh meembantu tempat kerja dalam memanfaatkan elemen digital, fizikal dan sosial untuk meningkatkan peluang pembelajaran.

Karhapaa dan rakan-rakan mendapati bahawa :-

Persekitaran kerja digital menawarkan fleksibeliti untuk berinteraksi, bekerjasama dan akses kepada maklumat

Cabaran dalam persekitaran tempat kerja digital termasuk lambakan maklumat atau information overload dan juga keupayaan staf untuk belajar skil baru berkaitan teknologi digital.

Terdapat juga cabaran yang terhasil akibat lambakan maklumat iaitu kesukaran untuk mendapatkan maklumat yang relevan dan menguruskan lambakan maklumat yang berterusan tanpa henti.

Pembelajaran di tempat kerja dipengaruhi oleh individu dan situasi yang dihadapi, dengan teknologi digital memainkan peranan penting.

Teknologi digital membantu komunikasi dan kolaborasi dalam organisasi. 

Mesyuarat atas talian memberikan peluang untuk pembelajaran pasif serta multitasking. 

Media sosial mampu digunakan sebagai medium untuk networking dan professional development.

Alatan digital seperti screensharing, chat interface dan fungsi reaksi dapat mempertingkatkan komunikasi dan kolaborasi.

Diskusi atas talian secara adhoc atau tak formal memudahkan sokongan dari rakan sekerja dan juga perkongsian maklumat dan pengetahuan.

Pekerja mengadaptasi perubahan yang berterusan di alam persekitaran digital menerusi latihan formal yang diberikan serta pembelajaran tidak formal dari rakan sekerja.

Budaya organisasi dan juga amalan berkongsi pengetahuan didapati membantu pembelajaran tidak formal di tempat kerja.


Sebenarnya, berdasarkan dari kajian yang dijalankan oleh Karhapaa dan rakan-rakan, perkara sebegini juga dilalui di organisasi tempat saya bekerja. Lambakan maklumat yang tidak henti kadangkala menyebabkan ada maklumat yang tertinggal. Ada juga teknologi digital yang saya kurang mahir tetapi terpaksa digunakan. Contohnya saya sudah selesa menggunakan Google Meet untuk online presentation tetapi kadangkala terpaksa guna Cisco Webex dan Zoom. Mujurlah rakan sekerja yang mahir gunakan Webex atau Zoom mengajar saya. Ini secara tidak langsung merupakan satu bentuk pembelajaran tidak formal di tempat kerja. 

Secara ringkasnya, seperti yang dilihat olej Karhapaa dan rakan-rakannya ketika menjalankan kajian, teknologi digital banyak membantu kerja di organisasi. Ia juga secara tidak langsung menyokong pembelajaran tidak formal di kalangan pekerja. Dan yang lebih indah, teknologi digital di persekitaran tempat kerja mempunyai elemen phygital yang mampu memberikan satu bentuk pengalaman yang lebih hebat dan mengkagumkan. 

Monday, June 03, 2024

Monitor Tambahan Untuk Laptop

 



Baru-baru ini saya membeli satu monitor jenama Acer EK251Q yang bersaiz hampir 25 inci. Tujuan utama saya beli monitor ini ialah untuk sambungkannya dengan Macbook Air (MBA) saya. Tiada sebarang masalah pun dengan monitor MBA saya cuma apabila usia saya telah meningkat, rabun dekat pun hadir membawa 1001 masalah, antaranya ialah perlu buka kacamata apabila guna MBA. Kalau tak buka kacamata, memang nampak kabur sahaja paparan skrin MBA saya. 

Acapkali kacamata saya beralih posisi dari muka ke atas meja serta vice versa ketika membuat kerja menggunakan MBA. Ini kerana ketika sedang asyik buat kerja, ada insan-insan yang akan mengunjungi saya menyebabkan saya terpaksa meletakkan kacamata di muka saya. Ini penting agar saya dapat memandang wajah insan-insan terbabit dalam versi 4k. Jika tak pakai kacamata, wajah mereka akan kelihatan seperti siaran TV analog. Nasib baik wajah mereka masih kelihatan dalam mod warna, bukan hitam putih.

Seperti biasa, saya akan ke kedai kegemaran saya iaitu All IT untuk membeli monitor. Di Shopee juga ada dan ada yang boleh dapat murah sedikit namun saya tunggu beberapa hari agar sampai ke tangan saya. Memandangkan saya perlukan monitor ini segera, ditambah pula untuk boleh menggunakan point terkumpul, saya memilih untuk membeli di All IT sahaja.

Saya sudah pun ada monitor Samsung T35F 24 inci di bilik kekal saya. Monitor Acer pula untuk kegunaan di bilik sementara saya. Jika saya sudah habis jawatan pentadbiran saya, saya boleh letak salah satu di rumah untuk digunakan oleh saya, isteri dan anak-anak. 

Saya membaca beberapa artikel di web tentang mengapa monitor PC digunakan bersama laptop tetapi untuk diri saya ianya hanya satu, iaitu menyelesaikan masalah yang timbul akibat rabun dekat. Menggunakan MBA bersama monitor ini membolehkan saya menutup monitor MBA saya dimana MBA saya akan berada dalam mod clamshell. Ini secara tak langsung menjadikan monitor Acer saya sebagai monitor utama dan MBA saya seperti CPU. Cuma bila kita dalam mod clamshell, keyboard dan touchpad juga tidak dapat digunakan kerana laptop telah ditutup. 

Bagaimanapun, ianya boleh diselesaikan dengan menggunakan mouse dan keyboard external. Dalam hal ini saya menggunakan mouse Targus dan keyboard Logitech K380 Pebble Keys 2. Kedua-duanya disambung ke MBA saya menggunakan Bluetooth. Secara tidak langsung, semakin banyak wang dikeluarkan untuk membeli dua benda ini selain dari monitor. 

Penggunaan monitor external dan clamshell mode MBA membolehkan ianya berfungsi seperti desktop tanpa perlu membeli satu lagi sistem desktop. MBA ini boleh berfungsi ke dalam mod asalnya iaitu laptop jika kita ingin menggunakannya di tempat lain dan apabila kembali ke workstation, ianya akan disambung ke monitor external dan MBA berfungsi menjadi CPU dalam mod Clamshell. Dan sudah tentu adaptor diperlukan untuk sambungkan HDMI cable dari monitor ke MBA. Jangan beli yang original Apple, ianya mahal. Saya gunakan trusted third party adaptor dari jenama J5, juga dibeli di All IT. 

Setakat entri ini ditulis, reviu saya bersama monitor Acer yang baru saya beli ini amat singkat kerana saya hanya sempat gunakannya selama 20 minit sahaja sebelum saya pulang ke rumah. Tadi saya ke pejabat saya yang satu lagi untuk guna pula monitor Samsung, dan saya dapati ada tiada apa-apa perbezaan dari segi warna yang dipaparkan. Namun Acer mempunyai speaker built in di monitor sementara Samsung tiada. Ini membolehkan Acer memainkan terus bunyi dari CPU atau MBA saya menerusi HDMI cable yang mana gagal diterjemahkan oleh Samsung T35F. Dari segi harga, Samsung T35F mahal sikit dari Acer, tapi saya difahamkan Samsung T35F dah stop production. 

Apa pun, yang penting kerja mesti diselesaikan.