Friday, March 01, 2024

Menanda

 



Antara perkara yang paling kritikal dalam tugas seorang ahli akademik ialah menanda tugasan dan ujian para pelajar. Antara cabaran besar ketika menanda ujian ialah jawapan-jawapan yang tidak kena dengan skema. Kadangkala usaha para pelajar ini untuk menjawab boleh menimbulkan rasa lucu. Biasanya ada segelintir kecil dari mereka cuba memberi penerangan berkenaan sesuatu soalan, namun oleh kerana ianya perlu dijawab in English maka timbullah ayat-ayat yang membuat saya ketawa. Walau apa pun lucunya ayat tersebut, saya faham yang pelajar terbabit ingin menerangkan apa yang beliau faham mengenai soalan yang ditanya. Dan saya juga dapat mengesan bahawa pelajar ini sebenarnya faham konsep soalan, cuma untuk memberi penerangan in English tu agak sukar. 

Namun saya bernasib baik hanya segelintir kecil sahaja yang sebegini. Kebanyakannya boleh menjawab dengan agak baik. Dan kalau ujian itu secara fizikal, saya akan berhadapan dengan pelbagai bentuk dan jenis tulisan. Satu lagi cabaran yang perlu saya hadapi ialah perlu melakukan tugas lain dicelah-celah minggu menanda tugasan dan ujian. Ini juga perlukan kesabaran yang tinggi disampai kecekapan untuk membahagikan masa.

Selain tugas-tugas khas yang perlu dihadapi di celah-celah menanda tugasan dan ujian, waktu inilah saya kadangkala dihampiri rakan-rakan yang perlukan pertolongan itu dan ini. Satu kelemahan saya ialah saya agak sukar untuk menumpukan perhatian terhadap dua perkara serentak. Adakalanya kesabaran saya tergugat apabila ada yang ketuk pintu bilik saya ketika saya sedang dalam mod 'menanda'. Ada masa saya terpaksa tutup lampu bilik tapi jadi susah pula nak menanda dalam kegelapan.

Acapkali saya terpaksa surrender dan melayan rakan-rakan yang ketuk pintu bilik ketika menanda. In the end, terpaksa stay sampai ofis tutup. Bila malam hari, terpaksa melayan 'benda' lain pula di ofis. Setakat ini cuma bunyi sahaja, mudah-mudahan tak memunculkan diri. 

Ada sekali tu, terdengan ketukan keyboard dari bilik rakan sedangkan dia dah balik petang tadi dan biliknya gelap. Bila saya ke bilik dia, senyap pula ketukan keyboard tersebut. Bila saya masuk ke bilik saya, dengar balik. Begitulah yang terjadi beberapa kali pada malam itu sehinggakan saya ambil keputusan pulang sahaja ke rumah. 

Apa-apa pun, kerja tetap kerja. Walau apa dugaan dan rintangan yang melanda, kita perlu mempunyai kaedah dan cara untuk menanganinya. Dan yang paling penting adalah perlu bijak membahagikan masa. Jangan kerana terlalu sibuk sehingga abaikan diri sendiri dan keluarga.