Monday, July 03, 2023

Tanggungjawab dan Amanah

 


Baru-baru ini saya telah diberikan tugas untuk menguruskan perihal kepimpinan dan pembangunan pelajar di tempat saya. Secara tidak langsung, saya akan berada dalam kancah Hal Ehwal Pelajar (HEP). Berada di dalam HEP bukan sesuatu yang asing bagi saya kerana saya telah membantu HEP sejak dari tahun 2002 lagi, iaitu ketika Fakulti (kini menjadi Pusat Pengajian) kami berada di Shah Alam.

Masih saya ingat ketika itu rakan saya yang bertindak sebagai penasihat pertama IMSA (Information Management Student Association) menyerahkan 'baton' kepada saya kerana beliau akan cuti belajar. Dan saya kemudiannya menjadi penasihat kedua IMSA. Saya tidak ingat samada ketika itu ada surat lantikan atau tidak. Kalau ada pun mungkin dah hilang ke mana. Yang pasti, poster lama IMSA ketika saya menjadi penasihat kedua masih ada lagi di bilik saya. Kesemua AJK Tertinggi IMSA yang ada dalam poster tersebut telah menjadi orang-orang yang berjaya dalam karier dan bidang masing-masing.

Ketika menjadi penasihat IMSA, saya beberapa kali berulang alik ke HEP Induk. Di sana, saya berjumpa seseorang yang mencadangkan agar ditubuhkan pula persatuan dalaman di Fakulti saya. Saya tak ingat siapa orang itu, namun ideanya ialah untuk mendapatkan lebih banyak bajet. Jika hanya ada IMSA sahaja di Fakulti, maka hanya ada bajet untuk IMSA sahaja yang turun. Begitulah seingat saya kata insan terbabit. Dia juga memberi contoh beberapa Fakulti lain yang ada beberapa persatuan dalaman. 

Ketika itu saya terfikir yang Fakulti saya mempunyai 4 program dan IMSA ketika itu agak struggle untuk buat program yang cenderung ke arah sesuatu program akademik kerana IMSA perlu menjadi satu persatuan yang bersifat am, bukan khusus kepada sesuatu bidang. Saya memberi cadangan kepada IMSA agar ditubuhkan persatuan dalaman berteraskan setiap program akademik. IMSA akan kekal tetapi menganjurkan program-program yang boleh melibatkan semua pelajar di Fakulti.

Saya tidak ingat bila wujudnya setiap persatuan berteraskan program akademik ini kerana saya secara jujur tidak terlibat. Saya hanya menyalurkan cadangan yang saya dapat dari insan di HEP Induk ketika itu. Apa-apa pun, saya kagum dan respect pada mereka-mereka yang berjaya menubuhkan persatuan berteraskan program akademik di Fakulti saya. Akhirnya cadangan insan dari HEP Induk tersebut berjaya direalisasikan oleh rakan-rakan sekerja saya. 

Berbalik pada tugas saya sekarang iaitu membabitkan kepimpinan dan pembangunan pelajar, secara jujurnya ia lebih mencabar kerana saya bukan sahaja perlu uruskan pelajar di Pusat Pengajian saya sahaja, yang mana ramai telah saya kenali, namun juga perlu uruskan pelajar di 2 pusat pengajian lain. Ada lebih kurang 7k kesemuanya. Ini kerana Pusat Pengajian saya telah digabungkan dengan dua Pusat Pengajian lain dan diletakkan di dalam satu Kolej Pengajian.

Saya masih dalam proses pembelajaran untuk memahami aktiviti pelajar Pusat Pengajian selain dari Pusat Pengajian saya. Ini kerana mereka mempunyai sekumpulan pelajar serta pengajian yang sedikit berbeza (ada juga yang langsung berbeza) dari Pusat Pengajian saya. Lebih menyulitkan adalah kerana lokasi fizikal juga berbeza, iaitu kira-kira 20 minit pemanduan. Lagi sukar kerana satu pusat pengajian berada dibawah pentadbiran cawangan lain, sementara dua lagi berada dibawah pentadbiran cawangan lain. Jika kita mohon kenderaan seperti bas, kita perlu mohon kepada dua cawangan berbeza. 

Di satu pusat pengajian, kolej penginapan terletak bersebelahan. Ini menjadikan bangunan akademik sentiasa dikunjungi pelajar. Di dua lagi pusat pengajian, kolej penginapan pelajar agak jauh dari bangunan akademik. Ini menjadikan bangunan akademiknya agak sepi apabila menjelang larut petang. 

Salah satu punca blog ini tidak berupdate adalah kerana kesibukan. Kebetulan pula, bulan lepas sibuk dengan pelbagai perkara besar. Balik rumah letak kepala terus tidur, tak sempat nak berangan. 

Apa-apa pun ini merupakan satu amanah yang bagi saya berat juga kerana perlu membahagikan diri ini kepada 3 pusat pengajian di 2 lokasi berbeza. Mujur di lokasi lagi satu dah ada bilik. Bagi saya, jika baik niat kita, baik lah yang akan kita dapat.