Ramadan telah pun berlalu dan kini kita berada di bulan Syawal. Perjalanan pulang ke kampung halaman untuk Aidilfitri seperti biasa tidak lari dari kesesakan lalulintas, baik lalu jalan dalam ataupun lebuhraya bertol. Nasib baik juga ada hari-hari yang tolnya percuma seperti yang diumum oleh PMX.
Selepas cuti hari raya ini saya akan didepani dengan satu bentuk tanggungjawab dan amanah yang baru berkaitan dengan urusan dan aktiviti pelajar. Pengurangan ketara dalam jam syarahan saya merupakan indikator terkuat mengenai tugas baru saya di pentadbiran. Ini juga menandakan bahawa saya akan mempunyai kurang masa untuk bersantai dan kemungkinan akan juga sibuk di hujung minggu.
Walau apa pun yang bakal saya hadapi, ia bukanlah perkara baru dalam hidup saya. Ini kerana terdapat beberapa perkara dalam tugasan baru yang bakal saya harungi nanti, telah pun saya laksanakan sejak berbelas tahun. Cuma mungkin sejak 5-6 tahun kebelakangan ini saya lebih memberi tumpuan pada aspek lain dalam skop tugas saya.
Berbalik pada Syawal, baru-baru ini saya dijemput hadir ke satu majlis raya kenalan saya dan sungguh tak disangka apabila Dato Siti Nurhaliza juga hadir ke majlis kenalan saya serta suaminya Dato K dan anak kecil beliau. Turut hadir adalah Amy Search. Dan lebih seronok ialah apabila kedua-dua mereka menghiburkan kesemua tetamu dengan nyanyian mereka. Dato Siti menyanyikan lebih 4 lagu dan memang sedap suaranya live. Ini kali pertama saya melihat beliau secara live. Selalu di TV sahaja.
Inilah majlis hari raya yang saya rasa paling gempak saya hadiri setakat ini.
No comments:
Post a Comment