Friday, January 27, 2023

ChatGPT

 


Bagi yang sedang menulis, tak kiralah samada menulis sesuatu yang akademik ataupun tidak, kita akan menghadapi satu situasi di mana kita tiba-tiba buntu dan hilang idea. Perkara ini saya pernah lalui ketika menulis sesuatu yang tinggi jumlah perkataannya seperti artikel atau lebih kronik, tesis. 

Umum mengetahui untuk tesis, kita perlu menulis berpuluh ribu patah perkataan. Tesis saya mempunyai 83000 lebih patah perkataan. Ada yang hampir 100,000. Ada yang lebih 100,000. Kebiasaannya tesis PhD adalah sekitar 80,000 hingga 100,000 patah perkataan. Untuk mendapatkan jumlah perkataan seperti itu, bukan kerja sehari dua. Dan biasanya kita akan menghadapi situasi di mana kita menjadi buntu dan kering idea.

Selain dari tesis, kadangkala nak tulis artikel pun saya akan buntu. Lagi-lagi kalau dalam kepala ini ada pelbagai perkara, permasalahan dan persoalan yang perlu dirungkai. Sebagai manusia biasa, kita semua tidak lari dari menghadapi pelbagai masalah. Kadangkala masalah tersebut remeh pada orang lain, tapi berserabut dalam kepala kita. 

Jika ini berlaku, fokus untuk menulis dah terganggu. Dah lah nak memikirkan apa yang nak ditulis, nak memikirkan masalah lain pula. Terdapat beberapa tips yang saya perolehi dari orang lain, diri sendiri serta pembacaan untuk menyelesaikan masalah buntu untuk menulis. 

Pertama, take a break. Buat benda lain dulu. Contoh dah buntu menulis, kita buat benda yang kita suka. Layan hobi kita. Cuma kadang-kadang kita terlalu lama take a break. Saya pernah alami perkara ini iaitu terlalu lama take a break. Nak mula balik dah jadi tumpul pula fikiran. Terpaksa menulis perkara lain yang santai-santai.

Kedua, tukar persekitaran tempat kita menulis. Ada yang pergi ke kedai kopi macam Starbucks, Coffee Bean untuk menulis. Sekarang ni selain dah banyak kedai-kedai coffeshop seperti Zus, Halal Planet, Richiamo, Bask Bear, Costa, The Cups dan banyak lagi. Ada yang tidur di hotel untuk menulis. Pendek kata macam-macam tempat, cuma kalau boleh cari lah tempat yang sesuai dan tenang. Tapi ini bergantung pada orang juga. Saya pernah jumpa insan yang boleh menulis dengan tenang dan laju di celah-celah hiruk pikuk kedai mamak. Dia cakap pada saya, idea datang mencurah-curah bila dikelilingi ramai manusia yang dia tak kenal. Saya dah try pelbagai lokasi untuk menulis tapi in the end, saya nampaknya lebih tenang menulis di bilik saya sendiri di ofis.

Ketiga, free write. Maknanya set time 10-15 minit untuk menulis apa yang kita hendak, tak perlu tulis ikut penulisan yang kita sedang buntu. Contoh, anda sedang tulis satu artikel tentang kepentingan media sosial dalam pembelajaran atas talian dan tiba-tiba anda jadi 'tumpul' dan buntu, tak tau dah nak tulis apa. So anda buka satu lagi file microsoft word dan tulis perkara lain selain dari topik yang anda sedang 'sangkut' itu. Penulisan tersebut haruslah santai dan bebas dari sebarang ikatan grammar atau spelling. Contoh terbaik adalah blog ini, tempat saya 'free write'. Ia umpama panaskan enjin sebelum berlumba.

Keempat, baca balik apa yang kita dah tulis. Ini juga kadangkala membantu saya, cuma bila dah buntu tu, kepala pun dah serabut, malas pula nak baca balik apa yang saya dah tulis. Saya cuma baca balik apa yang saya dah tulis kalau momentum penulisan saya berada pada tahap yang tinggi. Mungkin orang lain berbeza dengan saya.

Kelima, cari kawan dan berbual berkenaan idea kita, terutama perkara yang kita sedang tulis itu supaya kita dapat pandangan baru. Yang ini saya selalu buat, dan bila saya tengok kawan-kawan lain tengah struggle buat PhD, saya akan berbual dengan diorang berkenaan topik mereka. Kadangkala saya bagi input atau tanya beberapa isu berkenaan topik mereka. Kadangkala saya minta mereka explain apa yang saya tak faham tentang topik mereka. Saya dapati mereka sangat seronok dan bersemangat bila explain pada saya. Dan mereka kata lepas tu mereka dapat pula idea untuk menulis. Masa saya buat PhD pun ada rakan-rakan yang suka berbual dengan saya mengenai isu dan topik PhD saya. Ada yang beri cadangan, ada yang bercerita tentang isu, ada yang berminat dengan elemen-elemen dalam topik saya dan minta explain pada mereka.

Keenam, yang ni paling baru dan saya gunakan dalam blog post kali ini. Berinteraksi dengan AI yang dah bersepah wujud dalam internet. Contohnya posting blog saya ini. Saya tiada idea nak tulis apa sebab kepala dah tumpul dan beserabut benda dalam fikiran saya. Tapi banyak isu sebenarnya dalam kepala saya yang saya nak kongsikan. So saya buka ChatGPT, salah satu AI yang ada di internet, saya ajukan soalan pada bot ChatGPT tentang cara untuk selesaikan masalah buntu menulis ini, dan bot AI tersebut beri enam cadangan. Cadangan-cadangan tersebut saya letakkan di atas dan ditambah pula dengan pengalaman saya sendiri.

Pendekata, di saat orang ramai terutama dalam bidang akademik agak skeptikal dengan para AI yang wujud seperti ChatGPT, saya melihat ianya sebagai satu titik untuk memberi idea untuk mula menulis. Apa yang penting ialah kita tidak copy paste bulat-bulat jawapan AI tersebut, tetapi ianya dijadikan sebagai satu sandaran atau rangka untuk kita mula menulis. Dan posting ini merupakan contoh terbaik. Tanpa ChatGPT, saya mungkin masih buntu nak tulis apa di blog ini walaupun ada beberapa isu bersarang dalam kepala untuk saya kongsikan pada anda semua.