Wednesday, December 06, 2023

Internet dan Media Sosial

 


Agak lama laman ini terbengkalai dek kerana kesibukan melayani tugas dan kerja hakiki. Kelas saya pada kali ini tidak banyak, hanya dua namun tugas pentadbiran sentiasa ada. Sejak dua menjak ini juga banyak mewakili Boss saya ke acara-acara yang dianjurkan oleh pelajar. Ada yang dibuat di dalam kampus dan ada juga yang dibuat di luar kampus.

Sebagai wakil boss yang kadang kala perlu merasmikan sesuatu acara, saya kena punctual, tidak lewat. Kalau tak merasmikan pun, saya tetap kena punctual. Ketika bulan pertama saya berada dalam tugas ini, saya masih belum mahir dan tiada pengalaman. Ada satu event tu, saya diletakkan dalam senarai jemputan VIP. Wakil event dah call saya tanya saya dimana, saya jawab teruskan dahulu acara, saya sedikit lewat.

Rupanya, acara tetap tak bermula selagi saya tidak sampai. Peristiwa ini membuatkan saya berfikir yang saya tidak lagi boleh lewat. Sebarang masalah dari saya akan melibatkan puluhan orang lain. Memandangkan job scope saya melibatkan kepimpinan, saya perlu berusahan menunjukkan contoh yang baik.

Saya tahu jika saya benar-benar menghadapi kecemasan, mungkin acara boleh bermula tanpa saya, namun saya akui silap saya sengaja melengahkan masa. Sebenarnya secara jujur, saya segan dan malu berada dalam situasi dimana apabila saya masuk, saya diiringi dan hadirin semua bangun memberi penghormatan. Saya lebih selesai muncul secara menyelinap, sama seperti hadirin lain. Namun saya sedar, kini secara tidak sedar, saya kena mengikut protokol majlis.

Berbalik kepada event-event yang saya kerap hadiri sekarang, tadi saya hadir pada event bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau dikenali juga sebagai MCMC. Penceramah iaitu Puan Nailah menerangkan kepada hadirin yang terdiri 90% dari siswa dan siswi tentang perlunya melayari media sosial dan internet dengan bijak. 

Antara yang menarik bagi saya ialah tentang perangai social media user yang gemar update fake status. Seperti diterangkan dalam ceramah tadi, orang sebegini suka hidup dalam kepura-puraan. Realiti luar social media orang sebegini tidak sama dengan di dalam social medianya.

Saya adalah antara manusia yang jarang update Facebook saya. Kalau saya pergi ke satu tempat pun, saya hanya update setelah saya pulang dari tempat tersebut. Instagram saya pula menjadi tempat saya meletakkan gambar-gambar yang saya ambil menggunakan phone saya, tetapi gambar-gambarnya lebih kepada gambar pemandangan. Jarang ada muka saya dalam tu. Tiktok saya pun sama. Itupun dah lama tak berupdate. Youtube pun sama, hanya update video-video yang tiada diri saya.

Seminggu sebelum itu pula, event yang saya hadiri dan rasmikan pula melibatkan penceramah dari PDRM yang menceritakan mengenai Love Scam. Kesemua event ini dijalankan oleh sahabat saya yang saya dah kenali sejak sebelum saya masuk bekerja lagi. Ianya merupakan sebahagian dari pentaksiran kelas beliau. Bagi saya, segala ilmu dan perkongsian sangat bermanfaat. 

Rumusan dari kedua-dua program ini ialah media sosial pada asalnya diwujudkan untuk merapatkan hubungan silaturrahim antara manusia tanpa mengira sempadan dan geografi namun ianya boleh menjadi tempat yang bahaya. Tanpa ilmu dan pengetahuan yang cukup, kita boleh terjebak dan menjadi samada mangsa atau pemangsa. 

Monday, October 02, 2023

Laos dan Padang

 

Ai generated image



Seperti diduga, tugas dan amanah yang diberikan pada saya ini menyebabkan saya gagal untuk update blog ini. Lebih-lebih lagi apabila saya perlu menyelesaikan pelbagai perkara dan ianya berada dalam mode 'urgent'. Kadangkala idea untuk menulis itu ada, namun untuk menterjemahkan dalam bentuk yang boleh dibaca, memerlukan waktu terluang. Waktu terluang ini lah yang sukar dicari.

Dalam masa 2-3 bulan ini, saya telah 2 kali ke luar negara atas urusan kerja. Yang pertama dari 12 hingga 16 Julai 2023 ke Vientiane, Laos dan yang kedua pada 21 hingga 25 September 2023 ke Padang, Indonesia. Yang kedua ini lebih mencabar kerana saya perlu melakukan pelbagai perkara dalam masa kurang 1 bulan setelah arahan kerja dikeluarkan. Namun ianya merupakan satu pengalaman baru, bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada orang-orang yang menguruskan segala dokumentasi dan urusan kewangan saya. 

Saya ke Laos dibawah pihak AUSC, KPT dimana ianya semua diuruskan oleh pihak mereka sementara ke Padang, Indonesia pula di bawah tempat kerja saya dan saya yang perlu uruskan kebanyakan perkara termasuk tiket dan sebagainya. Kedua-duanya memberi pengalaman yang unik kepada saya. Di Laos, saya menaiki MAS ke Bangkok dan menyambung perjalanan ke Vientiane menaiki Laos Airlines sementara untuk ke Padang, saya menaiki Air Asia. Tidak banyak direct flight ke Padang. 

Untuk ke Laos, saya mengambil masa 7 jam perjalanan, termasuk 4 jam transit di Sivanabhumi Airport, Bangkok. Ini tak termasuk sampai ke KLIA 4 jam awal. Ke Padang, hanya 1 jam perjalanan tidak termasuk sampai ke KLIA 4 jam awal. 

Saya akan menceritakan pengalaman di sana di dalam entri yang lain. 


Sunday, August 06, 2023

MacBook Air M2 dan Printer HP 2300




Baru-baru ini saya sekali lagi membeli laptop melalui Apple.com . Kali ini pilihan saya adalah Macbook Air M2. Saya pernah membeli Macbook menerusi website rasmi Apple sebelum ini dan pengalaman yang dilalui adalah sangat menyeronokkan. Kali ini saya sekali lagi menggunakan website rasmi Apple. Selain dari tidak urgent untuk menggunakan Macbook kerana Macbook Air 2020 Intel masih lagi ‘power’ dan boleh digunakan, saya juga ingin menggunakan kelebihan diskaun education store. 


Kali ini Macbook Air M2 saya datang sekali dengan Airpod 3rd Gen. Macbook ini saya upgrade RAM kepada 16GB dan juga saya upgrade charger kepada 70 watt GAN. Kalau charger standard yang diberi sekali tanpa sebarang penambahan wang adalah berkuasa 30 watt. Macbook Air 2020 saya menggunakan charger 30 watt.


Saya memesan Macbook Air M2 menerusi website Apple pada hari Khamis dan pada hari Selasa, Airpod saya sampai dahulu dari Singapore. Macbook saya pula hanya sampai ke tangan saya pada hari Rabu dan diterbangkan dari kilang Macbook di Shanghai, China. Sebenarnya Macbook ini telah selamat mendarat di Malaysia pada hari Selasa namun perlu melalui clearance kastam terlebih dahulu. Untuk Airpod, kurier yang digunakan adalah GDex untuk penghantaran di Malaysia sementara untuk Macbook, kurier yang digunakan adalah DHL. 


Pada entri sebelum ini ada yang bertanya pada saya adakah selamat membeli melalui website Apple dan jawapan saya adalah selamat kerana ini adalah kali kedua saya membuat pembelian Macbook dalam masa 3 tahun dan pengalaman yang saya lalui untuk pembelian kali ini adalah hampir sama dengan yang pertama. Cuma bezanya adalah kali ini delivery Macbook adalah menggunakan DHL, sebelum ini menggunakan UPS.


Sebenarnya saya mengharapkan delivery menggunakan UPS kerana saya merasakan bahawa UPS amat professional dalam urusan penghantaran. Namun pengalaman kali ini dengan DHL pun tak kurang hebat.


Saya tidak akan menyentuh tentang prestasi dan pengalaman menggunakan Macbook Air M2 ini kerana ada banyak website dan Youtuber yang dah melakukan reviu tentang kesemua ini. Malah ada yang melakukan benchmark lagi. Cuma apa yang boleh saya katakan ialah, Macbook kurang menggunakan memori serta bateri lebih tahan berbanding Windows based. Saya ada satu lagi laptop Windows based dan desktop di bilik ofis saya juga menggunakan windows. Saya encounter some minor errors dengan Windows dan benda ini tidak berlaku di Macbook. But my main thing to buy Mac Ialah MacOS conserve power.


Apa-apa pun, saya dah consider beberapa pesaing Macbook Air M2 ini dari jenama Dell, Asus terutama Asus S13 OLED yang lebih nipis dan ringan dari Macbook Air M2, HP dan Lenovo. In the end saya pilih Macbook. 


Saya juga couplekan Macbook saya dengan multiport hub jenis J5 Create series JCD353 dan juga bluetooth mouse Targus B582. Mula-mula nak beli Microsoft Mouse tapi yang saya nak tiada di kedai All IT. Nak juga couplekan hardware Mac dan Microsoft.


Dan sekali lagi masalah yang sama menimpa Macbook Air ini dengan Printer HP 2336 saya di rumah iaitu selepas install printer driver, printer tidak dapat print. Baru saya teringat masalah yang sama juga berlaku dengan Macbook Air 2020 Intel based saya. 


Solusinya sama sahaja iaitu download updated HP printer driver dari Apple di link ini atau ini. Kemudian add printer akan keluar HP 2300 (auto detect dari connection USB di Mac dan printer), pilih add software dan cari HP 2540 kemudian add pada printer di Mac. Selepas add, barulah printer HP 2336 boleh guna. 


Ingatkan selepas 3 tahun masalah selesai, rupanya sama je. Apa yang merugikan menggunakan cara ini ialah scanner di printer HP 2336 tak boleh guna. Print boleh guna, dan untuk check supply ink pun boleh. Nasib baik Macbook Air M2 ni ringan dan more powerful than the 2020 intel, ditambah pula dengan add on RAM. 



Monday, July 03, 2023

Tanggungjawab dan Amanah

 


Baru-baru ini saya telah diberikan tugas untuk menguruskan perihal kepimpinan dan pembangunan pelajar di tempat saya. Secara tidak langsung, saya akan berada dalam kancah Hal Ehwal Pelajar (HEP). Berada di dalam HEP bukan sesuatu yang asing bagi saya kerana saya telah membantu HEP sejak dari tahun 2002 lagi, iaitu ketika Fakulti (kini menjadi Pusat Pengajian) kami berada di Shah Alam.

Masih saya ingat ketika itu rakan saya yang bertindak sebagai penasihat pertama IMSA (Information Management Student Association) menyerahkan 'baton' kepada saya kerana beliau akan cuti belajar. Dan saya kemudiannya menjadi penasihat kedua IMSA. Saya tidak ingat samada ketika itu ada surat lantikan atau tidak. Kalau ada pun mungkin dah hilang ke mana. Yang pasti, poster lama IMSA ketika saya menjadi penasihat kedua masih ada lagi di bilik saya. Kesemua AJK Tertinggi IMSA yang ada dalam poster tersebut telah menjadi orang-orang yang berjaya dalam karier dan bidang masing-masing.

Ketika menjadi penasihat IMSA, saya beberapa kali berulang alik ke HEP Induk. Di sana, saya berjumpa seseorang yang mencadangkan agar ditubuhkan pula persatuan dalaman di Fakulti saya. Saya tak ingat siapa orang itu, namun ideanya ialah untuk mendapatkan lebih banyak bajet. Jika hanya ada IMSA sahaja di Fakulti, maka hanya ada bajet untuk IMSA sahaja yang turun. Begitulah seingat saya kata insan terbabit. Dia juga memberi contoh beberapa Fakulti lain yang ada beberapa persatuan dalaman. 

Ketika itu saya terfikir yang Fakulti saya mempunyai 4 program dan IMSA ketika itu agak struggle untuk buat program yang cenderung ke arah sesuatu program akademik kerana IMSA perlu menjadi satu persatuan yang bersifat am, bukan khusus kepada sesuatu bidang. Saya memberi cadangan kepada IMSA agar ditubuhkan persatuan dalaman berteraskan setiap program akademik. IMSA akan kekal tetapi menganjurkan program-program yang boleh melibatkan semua pelajar di Fakulti.

Saya tidak ingat bila wujudnya setiap persatuan berteraskan program akademik ini kerana saya secara jujur tidak terlibat. Saya hanya menyalurkan cadangan yang saya dapat dari insan di HEP Induk ketika itu. Apa-apa pun, saya kagum dan respect pada mereka-mereka yang berjaya menubuhkan persatuan berteraskan program akademik di Fakulti saya. Akhirnya cadangan insan dari HEP Induk tersebut berjaya direalisasikan oleh rakan-rakan sekerja saya. 

Berbalik pada tugas saya sekarang iaitu membabitkan kepimpinan dan pembangunan pelajar, secara jujurnya ia lebih mencabar kerana saya bukan sahaja perlu uruskan pelajar di Pusat Pengajian saya sahaja, yang mana ramai telah saya kenali, namun juga perlu uruskan pelajar di 2 pusat pengajian lain. Ada lebih kurang 7k kesemuanya. Ini kerana Pusat Pengajian saya telah digabungkan dengan dua Pusat Pengajian lain dan diletakkan di dalam satu Kolej Pengajian.

Saya masih dalam proses pembelajaran untuk memahami aktiviti pelajar Pusat Pengajian selain dari Pusat Pengajian saya. Ini kerana mereka mempunyai sekumpulan pelajar serta pengajian yang sedikit berbeza (ada juga yang langsung berbeza) dari Pusat Pengajian saya. Lebih menyulitkan adalah kerana lokasi fizikal juga berbeza, iaitu kira-kira 20 minit pemanduan. Lagi sukar kerana satu pusat pengajian berada dibawah pentadbiran cawangan lain, sementara dua lagi berada dibawah pentadbiran cawangan lain. Jika kita mohon kenderaan seperti bas, kita perlu mohon kepada dua cawangan berbeza. 

Di satu pusat pengajian, kolej penginapan terletak bersebelahan. Ini menjadikan bangunan akademik sentiasa dikunjungi pelajar. Di dua lagi pusat pengajian, kolej penginapan pelajar agak jauh dari bangunan akademik. Ini menjadikan bangunan akademiknya agak sepi apabila menjelang larut petang. 

Salah satu punca blog ini tidak berupdate adalah kerana kesibukan. Kebetulan pula, bulan lepas sibuk dengan pelbagai perkara besar. Balik rumah letak kepala terus tidur, tak sempat nak berangan. 

Apa-apa pun ini merupakan satu amanah yang bagi saya berat juga kerana perlu membahagikan diri ini kepada 3 pusat pengajian di 2 lokasi berbeza. Mujur di lokasi lagi satu dah ada bilik. Bagi saya, jika baik niat kita, baik lah yang akan kita dapat. 

Saturday, May 13, 2023

Tanda Tangan Dokumen di Microsoft Word

 

Perkara yang tak selalu saya buat tapi kadangkala kena buat ialah untuk sign dokumen yang dihantar melalui Microsoft Word. Ada pelbagai kaedah, antaranya copy paste signature yang telah disimpan terlebih dahulu dalam format .jpg. Saya lebih suka sign on the spot dokumen tu, jadi setiap kali saya dapat dokumen Word untuk disign, saya akan buka di laptop saya. 

Saya akan ke menu Draw, dan ada draw with trackpad dan ikut sahaja arahan. Cuma yang saya perasan kalau saya buka di desktop, saya tak jumpa Draw with Trackpad tu.

So secara ringkasnya ialah,

1. Draw 

2. Draw with trackpad

3. Move signature yang dah dilukis menggunakan trackpad itu ke lokasi di atas dokumen.

Saya tulis ni pun sebab senang nak cari kalau kena sign dokumen. Selalu sign guna pen, kadangkala je guna dokumen elektronik. Jadi bila benda jarang buat sekarang ni sebab dah banyak work at office, jenuh la nak google untuk ingatkan balik cara. Simpan sini senang. 

Wednesday, May 03, 2023

Majlis Hari Raya

 


Ramadan telah pun berlalu dan kini kita berada di bulan Syawal. Perjalanan pulang ke kampung halaman untuk Aidilfitri seperti biasa tidak lari dari kesesakan lalulintas, baik lalu jalan dalam ataupun lebuhraya bertol. Nasib baik juga ada hari-hari yang tolnya percuma seperti yang diumum oleh PMX. 

Selepas cuti hari raya ini saya akan didepani dengan satu bentuk tanggungjawab dan amanah yang baru berkaitan dengan urusan dan aktiviti pelajar. Pengurangan ketara dalam jam syarahan saya merupakan indikator terkuat mengenai tugas baru saya di pentadbiran. Ini juga menandakan bahawa saya akan mempunyai kurang masa untuk bersantai dan kemungkinan akan juga sibuk di hujung minggu.

Walau apa pun yang bakal saya hadapi, ia bukanlah perkara baru dalam hidup saya. Ini kerana terdapat beberapa perkara dalam tugasan baru yang bakal saya harungi nanti, telah pun saya laksanakan sejak berbelas tahun. Cuma mungkin sejak 5-6 tahun kebelakangan ini saya lebih memberi tumpuan pada aspek lain dalam skop tugas saya.

Berbalik pada Syawal, baru-baru ini saya dijemput hadir ke satu majlis raya kenalan saya dan sungguh tak disangka apabila Dato Siti Nurhaliza juga hadir ke majlis kenalan saya serta suaminya Dato K dan anak kecil beliau. Turut hadir adalah Amy Search. Dan lebih seronok ialah apabila kedua-dua mereka menghiburkan kesemua tetamu dengan nyanyian mereka. Dato Siti menyanyikan lebih 4 lagu dan memang sedap suaranya live. Ini kali pertama saya melihat beliau secara live. Selalu di TV sahaja.

Inilah majlis hari raya yang saya rasa paling gempak saya hadiri setakat ini.

Monday, April 10, 2023

Selamat Hari Raya 2023

 


Pejam celik hanya tinggal tidak sampai 2 minggu kita berpuasa di bulan Ramadhan. Tarikh lihat anak bulan Syawal ialah pada hari Khamis 20 April 2023. Rasa sedih kerana Ramadhan meninggalkan kita. 

Saya melakukan persiapan yang sederhana sahaja. Hanya sekali dua sahaja mengunjungi bazar Ramadan. Itupun beli roti john sahaja. Untuk makanan berat, isteri masak di rumah. Kalau nak topup sikit-sikit lauk pun, beli di medan selera yang hanya terletak tidak sampai 2 km dari rumah. Simpang masuk taman perumahan saya pun ada beberapa gerai menjual juadah. Jiran saya pun ada berniaga disitu. Jadi rasanya tak perlu nak pergi jauh-jauh ke bazar. 

Kadangkala bila dah sampai, tak tau apa nak beli. Ada sekali dua beli air kelapa. Beli 4 tapi saya perasan dia cuma belah 3 biji. Dia tengok 3 biji tu cukup 4 gelas, dibungkus dan beri pada saya. Sebungkus 5 ringgit. Itulah kali pertama dan terakhir saya beli disitu. Tengok orang pun tak berapa ramai beli. Waktu saya datang dekat-dekat pukul 7 lebih pun kelapa dan air tebu dia masih ada lagi. 

In the end, nampak jiran saya letak dalam whatsapp statusnya. Jiran saya pun meniaga kelapa hujung minggu. Dan memang kelapa dia telah terbukti air banyak, sedap dan dia jual tak ikut gelas tapi ikut biji. Saya terus order 4 biji. Saya tanya dia kenapa tak jual tempat biasa, dia cakap sebab dia tengok bulan puasa ni tiba-tiba dah ada orang luar ambil tempat tu jual air kelapa, so dia jual online sahaja lah. Alhamdulillah licin kelapa dia. Cuma masalahnya, jiran saya ni jual hujung minggu sahaja. 

Apa-apa pun memang beza sangat dari segi kuantiti air. Kami sekeluarga siap boleh minum ketika iftar dan sahur. Rakan-rakan yang regular berniaga bazar pun menyatakan bahawa sales kurang, tak macam biasa. Barang pula mahal. Iya lah, nak salahkan pelanggan pun susah. Mereka juga berjimat cermat. 

Beberapa hari ini, saya gemar keluar malam bersama isteri selepas solat tarawih. Jalan raya banyak kereta, kami agak terkejut. Nak bandingkan dengan minggu pertama puasa, kenderaan meningkat di waktu selepas solat tarawih. Bukan sahaja hujung minggu, malah hari biasa. Ada kedai-kedai kopi yang beroperasi sehingga pukul 12 tengah malam ketika bulan Ramadan. Namun hanya dua kali sahaja saya melepak di kedai kopi hipster ini. Itupun beli air hot chocolate less sugar. Saya minta no sugar tapi orang kedai cakap chocolate tu dah ada sugar so dia buat less chocolate sekali. 

Membawa kenderaan sewaktu bulan Ramadan juga mencabar. Ada yang fokusnya hilang kerana lapar dan dahaga. Sudahlah fokus hilang, bawa pun laju. Tanggal 7 April 2023, Allah menyelamatkan saya daripada satu bencana. Kisahnya, saya menaiki skuter 125cc saya pergi servis tukar minyak hitam tidak jauh dari rumah saya, kira-kira 6km dari rumah saya. 

Balik dari servis, saya kena melalui satu traffic light simpang tiga yang sangat bahaya. Di traffic light itu, kami akan belok ke kanan. Apabila untuk keluar ke kanan ini hijau, mereka yang berada di laluan utama akan merah. Paling bahaya adalah kenderaan dari kiri kerana ada 2 laluan iaitu satu terus dan satu lagi untuk masuk ke simpang tempat saya keluar. Yang nak masuk simpang memang akan berhenti tetapi yang di laluan terus ini kadangkala mereka memecut laju. Alasannya ialah mereka tak nampak lampu merah. 

Saya telah beberapa kali lihat kemalangan di situ, dengan cara itu. Pada hari kejadian, saya berada di hadapan sekali. Mula-mula saya ingin himpit ke kanan tetapi ada sebuah kereta yang berhenti terlebih dari garisan hingga motosikal saya tiada ruang. Lagipun ada motosikal lain disitu. Saya pun berhenti di sebelah kiri. Tepi saya adalah sebuah lori tanah, yang saya tahu pemandunya tidak akan dapat melihat saya jika saya berhenti di hadapan lori beliau. 

Apabila lampu kami hijau, saya tidak terus keluar, saya lihat dulu sebelah kiri untuk pastikan tiada kenderaan meluncur laju langgar lampu merah. Agak risau sebab pandangan agak terhalang dengan deretan kenderaan yang dah sedia berhenti untuk masuk ke simpang tempat saya keluar ini. Lagi saya risau kerana laluan terus itu kosong, tiada kenderaan yang berhenti. Ini bahaya kerana kalau ada kereta yang tak perasan lampu merah, dia akan terus meluncur laju dan boleh membahayakan saya. Lagi pula sudah tentu saya akan masuk ke laluan tersebut kerana saya berada di kiri simpang. Nak himpit kekanan pun bahaya kerana kenderaan-kenderaan di sebelah kanan saya akan langgar saya pula.

Jadi setelah beberapa saya pun keluar sambil tengok ke kiri. Memang tak nampak apa-apa kenderaan. Lagipun kenderaan di sebelah kanan pun dah keluar juga dari simpang. Dalam hati, mesti kenderaan dari laluan utama akan nampak kami dah keluar. Rupanya tidak. Apabila motosikal saya dah berada di laluan utama sebelah kiri, dari belakang saya nampak ada kereta gelap dalam keadaan huyung hayang menekan brek, kuat bunyinya, hinggakan kenderaan yang sama-sama keluar dengan saya sampai brek juga. Motosikal sebelah kanan saya juga kelam kabut mengelak. Saya sempat lihat side mirror saya dan melihat kereta gelap tersebut, terus terbabas ke tepi jalan mengelak kami. Saya pun termasuk ke tepi jalan walaupun tak terbabas. 

Memang kecut jantung saya. Saya pergi ke kereta gelap tersebut. Pemandu seorang perempuan melayu seperti mahu menangis minta maaf pada saya. Dia kata dia tak perasan lampu dah merah. Memang kena bebel lah dengan saya. Saya kata kalau beginilah cara pemanduan awak, memang lepas ni awak akan kena lagi. Saya suruh dia ubah cara pemanduan. Berkali-kali dia minta maaf pada saya. Katanya itu memang laluan dia tapi pada kali ini dia seperti tak perasan lampu dah merah.

Selepas segalanya selesai, sampai rumah saya terus sujud syukur dan memeluk isteri dan anak anak saya. Berjumpa rakan-rakan semua saya gembira kerana masih diberi peluang. Syukur kepada Allah. 

Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Hati-hati di jalan raya. Kadangkala kita berhati-hati tapi orang lain pula yang cuai. Marilah kita berdoa agar kita dan keluarga kita dilindungi.

Wednesday, March 15, 2023

Kenangan dengan Blackberry

 


Saya rasa hampir kesemua insan di dunia termasuk negara kita mempunyai telefon bimbit yang bukan sahaja boleh membuat dan menerima panggilan, malah juga mempunyai sambungan ke rangkaian internet. Menurut Statista.com, pada tahun 2021 sahaja, jumlah pengguna telefon bimbit ini mencecah 7.1 billion. Diramalkan bahawa menjelang hujung tahun 2023, jangkaan pengguna mencecah 7.33 billion. Boleh lihat statistik tersebut di sini. 

Bercerita mengenai telefon bimbit, ia memerlukan satu sistem operasi agar berfungsi seperti yang sedang kita gunakan sekarang. Menurut laman web Techtarget.com, sistem operasi untuk telefon bimbit atau dikenali sebagai Mobile Operating System (Mobile OS) membolehkan telefon bimbit tersebut membuka aplikasi dan program yang telah kita 'install'.

Terdapat beberapa jenis Mobile OS seperti Android, iOS, Windows, Symbian, Palm, Blackberry dan beberapa OS lagi. Yang saya pernah pakai adalah Android, iOS, Symbian dan Blackberry. Ketika whatsapp masih belum popular, saya menggunakan BBM iaitu sejenis aplikasi yang hanya eksklusif di telefon Blackberry sahaja. Sebenarnya saya tidak kisah sangat tentang BBM ini. Bagaimanapun selepas saya menyertai satu kumpulan manusia yang mempunyai hobi yang sama dengan saya waktu itu, saya sering terlepas maklumat perjumpaan mereka. Malah ada satu ketika saya pernah di 'sailang' oleh seorang insan dalam kumpulan itu ketika sedang deal sesuatu dengan satu pihak di luar negara. Ketika itu saya cuma deal menerusi Facebook sedangkan insan yang sailang saya deal direct menerusi BBM selepas melihat saya deal di Facebook.

Menyedari betapa mudahnya saya akan disailang tanpa satu bentuk real time communication apps, waktu tu pun FB Messengger masih tiada apps di handphone, maka saya beli Blackberry second hand yang saya gunakan untuk BBM. Rupanya kumpulan saya banyak berkomunikasi dalam BBM. Patutlah maklumat mereka lebih terkini.

Beberapa tahun kemudian apabila wujud Whatsapp, saya beralih ke Whatsapp. Sekarang di tahun 2023, hampir semua komunikasi menggunakan Whatsapp. Baik urusan kerja atau peribadi, semuanya whatsapp. Adakalanya, orang call saya pun guna Whatsapp call. Saya kurang gemar guna whatsapp call ini kerana ia sedikit lag, namun adakalanya lokasi pemanggil berada di kawasan yang kurang liputan talian bimbit, hanya internet sahaja yang kuat. So mau tak mau saya kena adapt dengan situasi terbabit. 

Walau apa pun, kenangan dengan Blackberry dan BBM merupakan satu titik permulaan ke arah menggunakan aplikasi messenger secara peribadi dan berkumpulan. Ia juga merupakan satu permulaan dimana arahan kerja boleh diberikan tanpa mengira waktu dan hari. Kalau sebelum ini selepas waktu kerja kita boleh fokus pada kehidupan peribadi dan keluarga, kini dengan adanya Whatsapp dan aplikasi messenger lain, kita akan terus dibelenggu oleh perkara kerja. Kadangkala saya terfikir, tak boleh ke forward mesej kerja tu esok awal pagi pukul 8 pagi? 

Mungkin juga arahan tersebut diterima dari pihak atasan jam 9 malam, tak perlulah yang terima arahan tersebut forwardkan pada group kerja jam 9.10 malam. Forwardkanlah pada jam 8 pagi esoknya. Lagipun kebanyakan arahan yang diterima malam mempunyai dateline keesokan hari jam 12 tengahari atau petang. Kalau forward immediately pada malam tu pun, orang tak boleh siapkan malam tu juga. Kena ke ofis esok untuk siapkan. Sama juga kisahnya. So kita kena bersabar sedikit untuk forward arahan. 

Namun ada kemungkinan juga orang tu takut lupa kalau dia tak immediate forward arahan kerja sebaik dia terima arahan tersebut pada malam hari. Mungkin dia tak berminat untuk set reminder di phone untuk forwardkan esoknya. Maklumlah, manusia ini mempunyai pelbagai tabiat dan tak semuanya sama. Disebabkan ini saya mempunyai satu tablet khas untuk saya browse internet dan Youtube pada malam hari tanpa perlu saya gunakan handphone saya yang memang ada whatsapp. 

Kita kena pandai untuk mencari ketenangan pada diri kita selepas waktu kerja. Sesungguhnya akal dan fikiran yang diberikan oleh Allah kepada kita salah satunya adalah untuk mencari satu jalan penyelesaian. Jadi, gunakanlah sebaik mungkin. 

Thursday, February 23, 2023

Mesin Basuh

 



Mesin basuh merupakan salah satu item penting di dalam sesebuah rumah. Sama juga pentingnya dengan dapur, peti ais dan suatu ketika dulu TV, rosak mesin basuh akan menyebabkan kita terpaksa cuci pakaian kita dengan tangan. Kini dengan wujudnya kedai dobi layan diri, urusan mencuci pakaian jadi lebih mudah. Namun untuk ke kedai dobi layan diri perlukan seseorang itu keluar dari rumah dan naik kenderaan. Sampai kedai dobi layan diri, terpaksa pula tunggu orang lain selesai basuh pakaian mereka, kalau masa kita sampai tu kosong, okay lah. Tapi still urusan ke kedai dobi layan diri menggunakan masa dan duit. 

Saya ada juga guna kedai dobi layan diri, kadang-kadang guna untuk keringkan pakaian. Memang memakan masa (selain dari wang yang digunakan untuk bayar mesin). Kalau di rumah, selepas memasukkan pakaian dalam mesin basuh, kita boleh buat kerja-kerja rumah lain seperti kemas rumah, vacuum rumah atau memasak. Sambil-sambil pakai kain pelikat sahaja, kerja-kerja rumah boleh selesai. 

Sejarah mesin basuh ini bermula apabila James King pada tahun 1851 mencipta mesin basuh pertama yang menggunakan dram, Hamilton Smith pada tahun 1858 mempatenkan versi berputar, dan pada tahun 1868 Thomas Bradford, seorang pencipta British, mencipta mesin yang berjaya secara komersial yang menyerupai mesin basuh moden.

Saya masih ingat ketika saya bujang, saya gunakan mesin basuh semi automatik. Waktu tu sekitar tahun 90-an. Ada dua komponen di mesin basuh tersebut. Selepas selesai basuh, kita punggah baju-baju tersebut masuk ke spin dry di ruangan sebelah tempat basuh. Tunggu baju di putar hingga tidak lagi basah dengan air. Timer pun guna timer manual. Kita kena pusingkan berapa lama kita nak basuh dan spin dry.

Biasanya kalau waktu spin dry ni, bergegar bunyi mesin basuh seolah-olah ada binatang mengamok didalamnya. Lagi-lagi kalau basuh baju tengah malam, memang kuat bunyinya. Kena pandai adjust baju dalam tu. Saya selalu fail bab ini, ada masa spin dry tersebut berpusing dengan senyap sunyi. Namun biasanya ia akan berbunyi bising.

Selesai spin dry, kena angkat baju dan sidai. Dia bukan dryer yang keringkan baju, baju masih lembab cuma dah tak basah kuyup. Saya tak berapa pasti harga mesin basuh zaman tu, tapi masih ikut kapasiti muatan. Rasanya tak lebih RM 400. Nak beli mesin fully auto tak mampu.

Masa awal-awal kahwin, baru la kenal mesin fully auto. Mesin pertama saya adalah jenama LG. Pakai beberapa tahun dan rosak. Lama juga pakai. Rasanya 7-8 tahun. Drum dah tak berpusing. Lepas tu saya beli baru, jenama Panasonic Econavi 14KG model NAFS14G3 jenis top load dan inverter. Jimat elektrik katanya. Berat 59kg. Selepas 7 tahun 6 bulan dan 10 hari menggunakan mesin basuh ini, akhirnya ianya rosak. Sehari sebelum rosak, wife gunakan untuk membasuh. Esoknya nak basuh dah senyap. Panggil jiran yang memang pandai repair barang elektrik, rupanya PCB Board rosak. Jiran suruh beli spare part dari Panasonic.

Saya call Panasonic untuk lapor masalah mesin basuh saya dan mereka biasanya ia adalah masalah board (which I had already knew) dan the biggest problem is board untuk model saya telah tidak lagi dikeluarkan oleh Panasonic. So I need to use a universal board. Jiran cakap kalau nak ganti universal punya, terpaksa ganti sekali dengan motor untuk drum. Ini disebabkan board universal tak boleh bekerja dengan drum original Panasonic. Drum original Panasonic adalah jenis inverter. Kalau nak beli board pun harga agak keras. Saya ada juga cari-cari board original Panasonic, harganya RM 660 dan bukan dijual oleh Panasonic. Tiada warranty diberikan.

Setelah berfikir panjang terutamanya nak keruk duit untuk bayar, saya akhirnya beli baru. Itupun keruk sana-sini tabung duit. Yang baru harga murah sikit dari harga yang lama dan kapasiti pun kurang sikit. Saya beli jenama Panasonic juga, model NA-FD10X1 BRT. Kali ni ambil yang kecil sikit, muatan 10 Kg. Panasonic mempromosikan mesin model ini sebagai Care Plus Stain Expert. Ada macam-macam mode tapi macam biasalah, sebagaimana mesin Panasonic sebelum ini, saya hanya guna mode Speedy dan Normal sahaja. Sesekali guna Air Dry dan beberapa bulan sekali akan guna Tube Clean. Penggunaan terma terma seperti Water Bazooka, Stain Expert, Care Plus hanya menambahkan gimik marketing mesin basuh ini. Berkenaan penggunaan TD Inverter pada motornya ada diterangkan seperti di bawah.

The TD Inverter with the new six-speed transmission gears provide a range of optimal rotation speeds or power needed for each cycle.

1. Clean results - stronger water flow
2. More energy savings - less energy usage
3. Less tangling - low speed rotation
4. Tub hygiene - auto tub cleaning

Saya tengok sama je hasil cucian dengan yang sebelum ini. Mungkin sebab saya cuma guna mode speedy sahaja kot. Apa-apa pun boleh refer full specifications di sini.

Cuma yang membezakan adalah saiz. Yang lama 14kg agak susah nak ambil baju-baju yang didasar drum. Yang ini sebab saiz 10kg, senang sikit nak ambil. Beratnya pun 36kg sahaja. Senang sikit saya nak cuci lantai mesin basuh ini nanti.

Saya tak tahu tahun bila mesin ini diperkenalkan oleh Panasonic, ketika nak cari mesin basuh, saya menetapkan kriteria ia mestilah yang terkini supaya spare part nya masih wujud kalau mesin basuh ini rosak. Nampaknya saya tak jumpa lagi jawapan tentang tahun bila mesin ini diperkenalkan. Yang saya pasti, ianya masih lagi wujud dalam Panasonic Malaysia Online Store. Penutup top loadnya akan tutup secara perlahan-lahan, sesuatu yang anak bongsu saya cukup suka. Kalau yang lama, kita lepaskan penutup top load, ia akan jatuh dengan hentaman yang kuat.

Ada yang bertanya setelah Panasonic yang sebelum ini rosak dan spare partnya pula tidak lagi dikeluarkan oleh Panasonic, kenapa saya beli lagi Panasonic. Saya pun tidak ada jawapan yang konkrit tentang permasalahan ini cuma untuk pengetahuan semua, rumah saya pernah dilanda power surge berpunca dari masalah TNB, boleh lihat posting mengenai kejadian tersebut di sini. TNB ganti balik semua peralatan yang rosak. Masa tu mesin basuh lama tak rosak cuma ketika kejadian plug bersambung pada socket walaupun mesin off. Kemungkinan ada circuit di pcb yang terkesan sewaktu kejadian tapi masih boleh digunakan sehinggalah beberapa tahun kemudian ianya rosak. Ini hanyalah andaian kasar dari orang yang tak berapa ada pengetahuan berkenaan arus elektrik.

Mesin basuh saya memang digunakan hampir hari-hari. Paling lewat pun dua hari sekali unless kalau kami tiada di rumah. Saya telah beberapa kali berhubung dengan Panasonic untuk enquire spare part barangan elektrik mereka dan so far customer care mereka bagus. Malah pernah technician mereka datang FOC untuk ganti barang yang rosak (under warranty). Dan kualiti barang mereka pun not so bad. Ada juga terfikir nak beli brand Samsung ke atau Toshiba, tapi in the end, Panasonic yang dah buat mesin basuh sejak tahun 1951 ini tetap menjadi pilihan.

Setelah di Google, life expectancy of a washing machine is around 8 years. Kalau dapat 10 tahun ianya satu bonus. Kalau lebih, lagi la bagus. Dan kena tengok juga tahap penggunaan.

Friday, January 27, 2023

ChatGPT

 


Bagi yang sedang menulis, tak kiralah samada menulis sesuatu yang akademik ataupun tidak, kita akan menghadapi satu situasi di mana kita tiba-tiba buntu dan hilang idea. Perkara ini saya pernah lalui ketika menulis sesuatu yang tinggi jumlah perkataannya seperti artikel atau lebih kronik, tesis. 

Umum mengetahui untuk tesis, kita perlu menulis berpuluh ribu patah perkataan. Tesis saya mempunyai 83000 lebih patah perkataan. Ada yang hampir 100,000. Ada yang lebih 100,000. Kebiasaannya tesis PhD adalah sekitar 80,000 hingga 100,000 patah perkataan. Untuk mendapatkan jumlah perkataan seperti itu, bukan kerja sehari dua. Dan biasanya kita akan menghadapi situasi di mana kita menjadi buntu dan kering idea.

Selain dari tesis, kadangkala nak tulis artikel pun saya akan buntu. Lagi-lagi kalau dalam kepala ini ada pelbagai perkara, permasalahan dan persoalan yang perlu dirungkai. Sebagai manusia biasa, kita semua tidak lari dari menghadapi pelbagai masalah. Kadangkala masalah tersebut remeh pada orang lain, tapi berserabut dalam kepala kita. 

Jika ini berlaku, fokus untuk menulis dah terganggu. Dah lah nak memikirkan apa yang nak ditulis, nak memikirkan masalah lain pula. Terdapat beberapa tips yang saya perolehi dari orang lain, diri sendiri serta pembacaan untuk menyelesaikan masalah buntu untuk menulis. 

Pertama, take a break. Buat benda lain dulu. Contoh dah buntu menulis, kita buat benda yang kita suka. Layan hobi kita. Cuma kadang-kadang kita terlalu lama take a break. Saya pernah alami perkara ini iaitu terlalu lama take a break. Nak mula balik dah jadi tumpul pula fikiran. Terpaksa menulis perkara lain yang santai-santai.

Kedua, tukar persekitaran tempat kita menulis. Ada yang pergi ke kedai kopi macam Starbucks, Coffee Bean untuk menulis. Sekarang ni selain dah banyak kedai-kedai coffeshop seperti Zus, Halal Planet, Richiamo, Bask Bear, Costa, The Cups dan banyak lagi. Ada yang tidur di hotel untuk menulis. Pendek kata macam-macam tempat, cuma kalau boleh cari lah tempat yang sesuai dan tenang. Tapi ini bergantung pada orang juga. Saya pernah jumpa insan yang boleh menulis dengan tenang dan laju di celah-celah hiruk pikuk kedai mamak. Dia cakap pada saya, idea datang mencurah-curah bila dikelilingi ramai manusia yang dia tak kenal. Saya dah try pelbagai lokasi untuk menulis tapi in the end, saya nampaknya lebih tenang menulis di bilik saya sendiri di ofis.

Ketiga, free write. Maknanya set time 10-15 minit untuk menulis apa yang kita hendak, tak perlu tulis ikut penulisan yang kita sedang buntu. Contoh, anda sedang tulis satu artikel tentang kepentingan media sosial dalam pembelajaran atas talian dan tiba-tiba anda jadi 'tumpul' dan buntu, tak tau dah nak tulis apa. So anda buka satu lagi file microsoft word dan tulis perkara lain selain dari topik yang anda sedang 'sangkut' itu. Penulisan tersebut haruslah santai dan bebas dari sebarang ikatan grammar atau spelling. Contoh terbaik adalah blog ini, tempat saya 'free write'. Ia umpama panaskan enjin sebelum berlumba.

Keempat, baca balik apa yang kita dah tulis. Ini juga kadangkala membantu saya, cuma bila dah buntu tu, kepala pun dah serabut, malas pula nak baca balik apa yang saya dah tulis. Saya cuma baca balik apa yang saya dah tulis kalau momentum penulisan saya berada pada tahap yang tinggi. Mungkin orang lain berbeza dengan saya.

Kelima, cari kawan dan berbual berkenaan idea kita, terutama perkara yang kita sedang tulis itu supaya kita dapat pandangan baru. Yang ini saya selalu buat, dan bila saya tengok kawan-kawan lain tengah struggle buat PhD, saya akan berbual dengan diorang berkenaan topik mereka. Kadangkala saya bagi input atau tanya beberapa isu berkenaan topik mereka. Kadangkala saya minta mereka explain apa yang saya tak faham tentang topik mereka. Saya dapati mereka sangat seronok dan bersemangat bila explain pada saya. Dan mereka kata lepas tu mereka dapat pula idea untuk menulis. Masa saya buat PhD pun ada rakan-rakan yang suka berbual dengan saya mengenai isu dan topik PhD saya. Ada yang beri cadangan, ada yang bercerita tentang isu, ada yang berminat dengan elemen-elemen dalam topik saya dan minta explain pada mereka.

Keenam, yang ni paling baru dan saya gunakan dalam blog post kali ini. Berinteraksi dengan AI yang dah bersepah wujud dalam internet. Contohnya posting blog saya ini. Saya tiada idea nak tulis apa sebab kepala dah tumpul dan beserabut benda dalam fikiran saya. Tapi banyak isu sebenarnya dalam kepala saya yang saya nak kongsikan. So saya buka ChatGPT, salah satu AI yang ada di internet, saya ajukan soalan pada bot ChatGPT tentang cara untuk selesaikan masalah buntu menulis ini, dan bot AI tersebut beri enam cadangan. Cadangan-cadangan tersebut saya letakkan di atas dan ditambah pula dengan pengalaman saya sendiri.

Pendekata, di saat orang ramai terutama dalam bidang akademik agak skeptikal dengan para AI yang wujud seperti ChatGPT, saya melihat ianya sebagai satu titik untuk memberi idea untuk mula menulis. Apa yang penting ialah kita tidak copy paste bulat-bulat jawapan AI tersebut, tetapi ianya dijadikan sebagai satu sandaran atau rangka untuk kita mula menulis. Dan posting ini merupakan contoh terbaik. Tanpa ChatGPT, saya mungkin masih buntu nak tulis apa di blog ini walaupun ada beberapa isu bersarang dalam kepala untuk saya kongsikan pada anda semua.