Setelah masuk syawal ke 4 barulah saya ada mood nak update ruang maya ini yang nampak sedikit bersawang setelah entri terakhir pada 20 April di mana saya kisahkan berkenaan hikayat me'renew' domain ini.
Sebenarnya, mood Syawal kali ini agak hambar, selain dari larangan kembali ke kampung buat tahun kedua berturut, larangan ziarah raya, larangan itu dan ini juga menyebabkan ia jadi hambar. Sembang dengan jiran-jiran sebelah mendapati mereka juga dalam mood yang sama.
Bagaimanapun, saya tidaklah menyalahkan pemerintah atas apa yang berlaku. Ini kerana saya melihat keadaan pandemik covid 19 akan menjadi malapetaka besar jika ianya tidak dikawal sebegini. Saya akui sukar untuk kita menjaga SOP apabila dah berkumpul raya. Lagi-lagi bila berjumpa dengan orang yang dah lama kita tak face to face berjumpa, memang confirm duduk rapat dan bersentuhan.
Saya sendiri menerima amaran kedua saya tentang Covid 19 ini dimana My Sejahtera saya bertukar warna risiko kepada Kontak Kasual (warna kuning). Ini kerana My Sejahtera saya detect saya check ini di waktu dan tempat yang sama dengan seseorang yang positif. Tidak diberitahu lokasinya tapi berdasarkan pemerhatian, ada 2 tempat saya check in pada hari tersebut. Saya digalakkan kuarantin kendiri selama 10 hari dan kena declare health screening saya everyday selama beberapa hari. Alhamdulillah saya tiada simptom apa-apa. Ketika entri ini ditulis, masih ada beberapa hari sebelum status risiko saya kembali hijau.
Hari pertama raya sebenarnya mengejutkan saya, dan mungkin jiran-jiran lain. Maaf, bukan hari pertama, tapi malam hari raya, atau lebih tepat malam terakhir berbuka puasa (esok hari raya). Kenapa saya terkejut? Sebab meja saya dipenuhi pelbagai juadah dari jiran-jiran. Dan kami juga membalas juadah pada mereka.
Orang-orang kampung bukan main ambil gambar mereka beraya di kampung dan di post dalam whatsapp, saya kata pada mereka, raya di bandar nampak lebih meriah dari kampung. Dengan ledakan mercun seperti hari merdeka, ditambah pertukaran pelbagai juadah, serta orang ramai bakar lemang depan rumah, rasanya lebih meriah raya di kawasan taman saya, setidak-tidaknya lebih meriah dari kampung saya.
Video call berkumpulan antara acara di pagi raya bersama adik beradik. Saya dan adik beradik saya video call berkumpulan menerusi Whatsapp pada tengahari. And disebabkan ada diantara mereka berada di kawasan yang line tak berapa kuat, jadi ada audio yang tak berapa memuaskan.
Teringat saya sambutan hari raya saya pada tahun 2000. Saya di Paris, seingat saya hanya beberapa hari selepas sambutan Krismas. Ada snow sedikit di Paris ketika itu. Zaman tiada whatsapp, tiada mobile internet. Kamera pun zaman tu pakai filem. Rakan-rakan Singapore yang bersama saya pada masa tu dah guna Digital Camera. Saya solat aidilfitri pagi itu di masjid di Paris. Tak silap saya masjid besar mereka.
Depan saya ada satu orang agak berumur, toleh ke saf saya dan arahkan seseorang masuk ke hadapan, bersebelahan dia. Untuk memenuhi saf, dalam hati saya. Entah macam mana, berlaku pertengkaran antara brader saf depan tu dengan seorang anak muda yang berada di saf saya. Anak muda ini rasanya sebaya atau muda sikit dari saya.
Saya tak faham bahasa yang mereka guna, saya andaikan mereka berdua ni asal dari afrika utara, samada Algeria atau Morrocco. Ada iras-iras bangsa Zinedine Zidane. Walaupun saya tak faham tapi saya tau mereka bertengkar sebab pelawaan brader saf depan untuk isi ruang kosong sebelah dia. Mungkin si muda ni nak solat raya sebelah kawan baik dia. Dan setelah beberapa ketika bertengkar, keadaan hampir bertukar fizikal. Masing-masing dah tolak menolak dan nak bertumbuk sebelum dileraikan oleh jemaah bersebelahan.
Insiden selesai begitu sahaja apabila kedengaran suara imam angkat takbir. Tapi di hati saya masih terngiang-ngiang walaupun sedang solat raya. Tak khusyuk terus saya. Dalam kepala terbayang yang mereka berdua ni time dekat solat raya pun nak bertumbuk, dan yang bestnya ia seolah-olah insiden kecil bilamana yang leraikan pun hanya rakan jemaah sebelah mereka sahaja. Kalau jadi kat tempat kita ni, dah ramai berkerumun ni. Silap-silap dua dua kena belasah.
Dan habis solat, saya perhati kedua-dua yang nak gaduh ni, tertunggu juga whether akan ada repeat. Tapi tiada, seolah-olah tiada sebarang insiden sebelum solat tadi. Saya tepuk pipi saya beberapa kali untuk pastikan saya tak bermimpi di pagi aidilfitri. Adakah saya berkhayal sebelum ni.
Itulah secebis pengalaman solat di Paris pada tahun 2000. Kalau tak 27 Disember, mungkin 26 Disember tarikh Eid Mubarak pada ketika itu.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.