Tuesday, December 19, 2017

Be Smart In Fighting Crime





Baru-baru ini kita digemparkan dengan peristiwa pembunuhan seorang lelaki di sebuah stesyen minyak. Stesyen minyak itu pula terletak di sebuah bandar besar dan sewaktu kejadian, masih ramai orang berada di situ. Keadaan pula sibuk.

Kejadian tersebut dirakam oleh salah seorang saksi menggunakan smartphone beliau. Video tersebut kemudiannya menjadi viral. Ramai yang telah menyaksikan video tersebut. Rata-rata netizen mengeluarkan pelbagai kenyataan. Ada yang mempersoalkan kenapa perakam tidak menelefon polis. Ada yang marah kerana orang ramai tidak berbuat apa-apa.

Berdasarkan video dan laporan akhbar kemudiannya, mangsa ditikam ketika sedang bergelut dengan penyerangnya. Ini membuktikan bahawa penyerang mempunyai senjata. Adalah bahaya bagi orang ramai untuk membantu jika tiada sebarang ilmu mempertahankan diri atau alatan yang boleh digunakan agar tidak diserang oleh penyerang.

Bagi saya, tindakan perakam sedikit sebanyak membantu pihak polis untuk menyiasat kes. Wajah suspek dan kenderaan suspek dapat dikesan. Rakaman tersebut boleh membantu pihak berkuasa melihat bagaimana mangsa dibunuh, sekaligus boleh membantu dalam proses pendakwaan.

Hampir 20 tahun lepas, saya pernah melihat satu kejadian samun berlaku di hadapan sebuah bank. Seorang lelaki yang baru sahaja mengeluarkan duit berjumlah puluhan ribu. Suspek berlari kearah sebuah kereta Proton Wira tidak jauh dari lokasi kejadian. Orang ramai yang berada di restoran melayu tempat saya bersarapan keluar dan mengejar suspek. Turut serta beberapa pelanggan di restoran cina bersebelahan. Tiba-tiba beg berisi duit jatuh dari tangan suspek. Suspek ketika itu sudah hampir sampai ke kereta Proton Wira.

Saya ingatkan suspek akan dibelasah oleh kami. Rupa-rupanya yang mengejar ada dalam belasan orang semuanya turut berhenti. Suspek sempat kutip beg dan masuk ke dalam Proton Wira.

Kami semua tertanya-tanya kenapa kami semua berhenti mengejar apabila beg jatuh dari tangan suspek. Rupanya semua takutkan geng suspek di dalam Proton Wira. Takut apabila kami dapat keroyok suspek, geng suspek keluar dari kereta membawa senjata api dan menembak kami.

Tidak guna menjadi HERO tanpa persiapan diri dan kelengkapan yang sempurna. Tak bererti kita pernah tangkap remaja curi buah kelapa, kita mampu tewaskan perompak bank. Menangkap orang berkhalwat tidak sama dengan cubaan mencegah pergaduhan bersenjata sesama kongsi gelap.

Perlu kita ingat, penjenayah ini adalah mereka yang nekad. Sanggup mati jika dihalang. Paling penting, ingat segala butiran kejadian dan terus laporkan ke polis. Pihak polis ada sumber dan keupayaan yang cukup untuk membuat tangkapan. Isteri saya pernah cuba diragut dihadapan saya namun gagal. Saya ambil keputusan ekori peragut sambil telefon polis. Saya bercakap terus dengan anggota polis di bahagian Gerakan Ibu Pejabat Daerah. Antara maklumat yang saya salurkan adalah jenis motosikal, nombor plet motosikal, berapa orang atas motosikal dan pakaian serta helmet mereka. Kemudian motosikal tersebut hilang dari pandangan. Namun saya yakin, polis akan mencarinya. Memang benar, 15 minit kemudian saya dapat panggilan dari polis menyuruh saya datang membuat laporan berkenaan cubaan meragut. Suspek telah ditangkap. Kebetulan, yang menangkapnya adalah rakan saya juga yang sedang bertugas membuat rondaan.

Untuk makluman, jika maklumat awal dan tepat berjaya disalurkan kepada polis, pihak polis akan membuat hebahan kepada seluruh anggota dan pegawai yang sedang menjalankan rondaan. Hebahan bukan sahaja dilakukan di daerah berlakunya kejadian, malah dilakukan juga ke daerah-daerah berhampiran. Bererti jika penjenayah melakukan jenayah di Klang dan kemudian terus lari ke Banting, polis Banting pun dah standby.

Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Kalau dalam diri kita membuak-buak sifat untuk mencegah jenayah, sertailah Sukarelawan Simpanan PDRM atau dikenali sebagai PVR (Police Volunteer Reserve). Di sana, anda dilengkapi dengan ilmu dan pengetahuan untuk mempertahankan diri ketika menangkap penjenayah. Anda juga dilengkapkan dengan peralatan khas ketika bertugas. Kalau diluar tugas, tanpa peralatan khas, gunakanlah akal. Jangan main terjah, silap-silap kita yang jadi mangsa. Cepat hubungi bantuan. Dalam masa yang sama, kumpul maklumat berkenaan selengkap yang boleh. Amati suspek untuk sebarang bentuk yang boleh digunakan untuk pihak berkuasa mencari dan menangkap. Kadangkala maklumat  yang loose seperti ‘Suspek naik moto, tapi no.plet saya tak nampak,moto tak pasti kaler dan jenis apa, suspek saya tak pasti bangsa apa, helmet kaler apa pun saya tak tau, yang saya tau suspek naik moto. Berapa ramai pun saya tak ingat, sorang ke berdua, saya panik’. Maklumat sebegini akan menyukarkan polis mencari suspek lebih-lebih lagi suspek melarikan diri ke jalan besar yang ada banyak kenderaan. 

Whatever it is, information is power. Kejadian yang berlaku di Shell Taman Pelangi menunjukkan betapa power nya information dalam bentuk rakaman saksi. Ia banyak membantu. Cuma agak gusar ianya diviral sebegitu rupa kerana bukan semua dari kita yang mempunyai jiwa untuk menyaksikan sesuatu yang ganas seperti itu. Ditakuti ada yang trauma.

No comments:

Post a Comment