Kisah ini sebenanrya ada dimuatkan di blog lama saya pada 12 Mac 2013. Saya garapkan kembali di .com ini kerana ia merupakan salah satu perkara aneh yang terjadi dalam hidup saya. Ini bukan bererti saya cenderung ke arah perkara yang tahyul tetapi kisah-kisah sebegini mempunyai tarikan tersendiri kepada mereka yang membaca dan mendengarnya. Kebetulan ia benar-benar terjadi pada saya, so why not I blog about it. Ceritanya adalah dibawah. Tiada sebarang editing baru dilakukan. Saya ambil bulat-bulat dari blog lama saya.
Sebelum saya terlupa insiden ini biarlah saya coretkan agar menjadi salah satu pengalaman dalam hidup saya.
Ia terjadi beberapa minggu lepas. Saya ke satu kawasan taman
perumahan untuk berjumpa dengan seorang rakan. Jalan ke taman perumahan
rakan saya ini gelap dan panjang merentasi hutan namun terdapat beberapa
simpang berlampu isyarat dan sebelum jam 12 malam jalan ini memang agak
sibuk.
Dalam perjalanan pulang ke rumah melalui jalan gelap ini, kira-kira
500 meter dihadapan saya akan menempuh lampu isyarat simpang tiga di
mana di kawasan ini agak terang dengan lampu jalan. Saya melihat
beberapa buah kenderaan dari arah bertentangan memberikan lampu tinggi,
tanda ada sesuatu. Pada pemikiran saya, mungkin ada sekatan jalan raya
di hadapan. Apabila saya sampai di lampu isyarat, nampak sekumpulan
manusia sedang berkerumun dan seorang lelaki terbaring. Rupanya ada
kemalangan berlaku. Saya lihat jam tangan, 1o,45 malam.
Saya berhenti di tepi jalan, bertentangan dengan lokasi kemalangan.
Ketika itu semuanya berada di seberang jalan mengerumuni lelaki terbabit
yang sedang terbaring. Saya hanya berdiri di seberang jalan kerana
risau jika ada kenderaan lain yang terbabas, maklumlah kawasan sekitar
gelap dan hanya ada lampu jalan betul-betul di lokasi kemalangan.
Selepas saya berhenti, ada sepasang kekasih (saya duga) juga berhenti
di tempat saya dan juga seorang lelaki india dalam lingkungan umur
50-an. Saya melihat mangsa kemalangan dalam keadaan nazak dengan darah
begitu banyak mengalir dari kepalanya. Rupanya sebuah van telah merempuh
motosikal mangsa. Di belakang saya adalah hutan belantara. Sesekali
terdengar burung bersahutan. Jam 11.30 ambulans sampai dan membawa
mangsa ke hospital.
Kini, hanya tinggal darah bertakung di lokasi. Ketika itu masih
ramai orang lagi di kawasan lokasi namun hanya kami berempat sahaja yang
berada di seberang jalan, masih berbual sesama kami berkenaan kejadian
kemalangan tersebut. Masih kedengaran bunyi burung dari hutan di
belakang saya. Burung apa saya tak pasti tapi saya sering mendengar
bunyi burung tersebut di kampung pada malam hari.
Saya nampak seorang pemuda dari kumpulan seberang jalan mengambil
baldi besar berisi air. Darah di lokasi dibersihkan dengan dituang air.
Tiga baldi penuh diperlukan untuk menghilangkan darah. Ketika air dari
baldi pertama dicurah atas darah, bunyi burung di hutan belakang saya
semakin hebat dan semakin banyak. Kami berempat di seberang jalan
berpandangan. Lelaki India tadi melihat saya sambil memberikan isyarat
kurang enak dengan situasi di hutan belakang kami. Begitu juga pasangan
kekasih. Anehnya, habis sahaja baldi ketiga dicurah airnya bunyi
burung-burung tersebut lenyap.
Kami berempat kemudian beredar. Dan saya seperti biasa terpaksa ke
kedai mamak supaya tiada apa yang mengikut saya pulang kerana saya punya
dua orang anak yang masih kecil. Ditakuti mereka diganggu.
Aneh tapi benar.
No comments:
Post a Comment