Friday, July 14, 2017

Kawad Cam




Ini cerita lama. Saya rasa lebih 10 tahun kot cerita ni. Saya ada muatkan di blog lama saya. Kisahnya seperti dibawah.

Sebelum perkara ini dilupakan begitu sahaja oleh saya, biarlah saya coretkan pengalaman yang saya lalui semalam supaya ianya boleh dikisahkan kembali jika diperlukan.

Segalanya bermula pada pagi semalam apabila saya dihubungi rakan saya, Nazrul yang meminta bantuan saya untuk ke sebuah IPD di Lembah Klang. Kebetulan pula kenalan lama saya bernama Johari merupakan anggota polis di IPD terbabit. Saya dan Nazrul tiba di IPD sewaktu makan tengahari kira-kira jam 1.30 dan kami makan bersama-sama Johari di restoran berhampiran IPD terbabit.

Rupa-rupanya di restoran tersebut terdapat sekumpulan lelaki dalam lingkungan 20-an ke 40-an sedang makan dan salah seorangnya merupakan rakan saya dan Nazrul, namanya Dino. Kesemua kumpulan lelaki terbabit merupakan orang-orang Dino.

Menurut Dino, kesemua mereka akan menghadiri kawad cam dalam satu kes pergaduhan. Johari mengakui bahawa rakan-rakannya ada menangkap beberapa orang suspek yang terlibat dalam pergaduhan di kawasan pentadbiran IPD tersebut. Dino merupakan rakan lama saya dan mereka yang ditangkap merupakan kenalan Dino.

Nazrul, Dino dan rakan-rakan mereka yang berada di restoran akan menjadi perserta kawad cam dimana mereka akan berdiri di celah-celah suspek sebenar dan mangsa atau pengadu akan diminta menunjukkan orang yang memukulnya kepada pegawai penyiasat. Kawad cam akan dijalankan dalam beberapa pusingan dimana kedudukan para peserta kawad cam akan berubah. Jika pengadu mengecam orang yang salah dalam setiap pusingan atau gagal mengecam suspek yang sebenar, maka kes akan menjadi lemah atau kes gugur, bagaimanapun ia bukanlah satu mekanisma yang muktamad untuk mengugurkan sesuatu tuduhan kerana saya juga tidak begitu arif dalam bidang perundangan, ini hanya penerangan asas yang diberitahu kepada saya sahaja.

Segalanya bermula apabila seorang detektif memanggil Dino, Nazrul dan rakan-rakan mereka untuk ke Bahagian Siasatan Jenayah yang terletak berhampiran. Ketika itu pula Johari meminta diri kerana perlu menghadiri mesyuarat. Ketika itu jam sudah menunjukkan angka 2.30 petang.

Masalah timbul apabila bilangan orang awam yang akan menyertai kawad cam tersebut tidak cukup. Saya tiba-tiba diajak turut serta dan memikirkan bahawa jika saya tolak, proses kawad cam tidak akan berlangsung, maka saya menerima tawaran terbabit. Lagipun tidak perlu berkira dalam soal ini kerana kita sendiri tidak tahu untung nasib kita satu hari nanti dan siapa yang akan menolong kita. Tidak perlu berlagak sombong.

Sebelum memasuki bilik kawad cam, MyKad kami diserahkan kepada detektif terbabit untuk difotostat. Saya dan rakan-rakan lain kemudiannya memasuki bilik kawad cam tersebut. Suasana ketika itu amat harmonis dan detektif-detektif yang bertugas juga amat professional dan berbual dengan kami. Ada antara detektif yang saya lihat amat menghormati saya, mungkin kerana kesanggupan saya turut dalam kawad cam terbabit yang sekaligus membantu melicinkan kerja mereka.

Apabila masuk sahaja dalam bilik kawad cam, rupa-rupanya kesemua suspek yang terlibat dalam kes pergaduhan terbabit ada di dalam bilik itu dengan baju lokap dan tangan bergari. Saya terkejut melihat salah seorang suspek kerana dia pernah bekerja bersama-sama saya. Dia juga kelihatan terkejut dan terpinga-pinga melihat saya berada dalam bilik kawad cam terbabit.

Perbarisan kawad cam dimulakan dan saya berada di nombor 8 sementara rakan saya Nazrul di nombor 9. Kami berbaris dicelah-celah kesemua suspek yang telah dibuka garinya dan baju lokap telah ditukar kepada t-shirt biasa. Mangsa/pengadu kemudiannya dipanggil dan diiringi pegawai penyiasat kes untuk mengecam kami dari luar bilik, di tingkap kaca. Sememangnya lucu apabila mangsa mengecam rakan saya Nazrul sebagai orang yang memukulnya. Selepas habis pusingan pertama, suspek-suspek lain pula dipanggil masuk (jumlah suspek dalam kes ini agak besar). Orang awam yang akan berbaris bersama suspek pula akan kekal.

Namun ketika inilah sesuatu berlaku. Salah seorang suspek tidak dapat memakai baju tshirt biasa untuk menggantikan baju lokap kerana badannya besar. Dan kebetulan badan saya besar, detektif meminta jasa baik saya untuk meminjamkan baju saya kepada suspek. Saya sebenarnya boleh menolak kerana ia bukan arahan tetapi dalam keadaan masing-masing inginkan proses berjalan lancar, tanpa gangguan dan dapat dihabiskan pada waktunya, maka saya memberikan sahaja tshirt terbabit pada suspek untuk digunakannya. Ketika itu suasana dalam bilik kawad cam amat tengik dan busuk serta panas dan tiada pengaliran udara kerana penghawa dingin rosak.

Maka berdirilah saya tanpa baju di tepi bilik kawad cam menunggu sehingga proses kawad cam selesai dan apabila saya menerima kembali baju saya, segala macam bau tengik dan busuk melekat. Dua kali saya terpaksa mandi sekembalinya di rumah, barulah bau tengik dan busuk itu hilang.

Selesailah sudah satu perkara yang saya pasti tidak ramai rakan-rakan ahli akademik saya akan lalui iaitu menjadi seorang perserta kawad cam. Semestinya ini akan menjadi satu pengalaman sepanjang perjalanan hidup saya.

Tentu anda tertanya-tanya apakah perjalanan kes ini. Oleh kerana kes masih baru dan dalam siasatan, saya tidak akan menceritakan lokasi kejadian.  Sebenarnya, pengadu/mangsa dalam kes ini telah melakukan sesuatu sehingga merosakkan akhlak remaja-remaja di satu komuniti. Telah beberapa kali pengadu/mangsa ditegur oleh komuniti di situ namun pengadu/mangsa hanya berhenti seketika, kemudiannya menjalankan kembali aktivitinya yang salah di sisi undang-undang. Saya difahamkan aduan telah dilakukan namun tidak diendahkan oleh pengadu/mangsa, mungkin kesalahan yang dilakukan kecil di sisi penguatkuasa namun ianya memberi impak negatif yang besar pada remaja di komuniti terbabit.

Berang dengan kejadian salah yang berterusan menyebabkan sekumpulan lelaki dari komuniti terbabit bersemuka dengan pengadu/mangsa. Saya difahamkan  berlaku provokasi hingga menyebabkan pergaduhan dan pengadu/mangsa yang pada mulanya merasakan dirinya kuat akhirnya tumbang dikeroyok oleh kumpulan lelaki dari komuniti tersebut.

Seorang lelaki dari kalangan komuniti tersebut bernama Pak Salim membawa pengadu/mangsa membuat laporan polis. Saya juga difahamkan Pak Salim memang tidak digermari oleh komuniti disitu kerana berperangai seperti samseng (mungkin juga samseng), dan pengadu/mangsa merupakan sumber kewangan tetap Pak Salim.

Apa yang didengar juga ialah pengadu tidak mengalami apa apa kecederaan serius, saya memang ada melihat sendiri pengadu ketika di IPD dan memang tidak kelihatan apa-apa kecederaan pada pengadu.

Apa anasir jahat yang pengadu/mangsa lakukan? Biarlah rahsia kerana kes masih dalam siasatan.

Sebelum kami balik, MyKad kami dipulangkan dan nombor telefon kami dicatit.

Dan ketika saya keluar dari IPD saya lihat anak-anak dan isteri-isteri kesemua suspek sedang menunggu bapa dan suami masing-masing. Timbul perasaan sayu kerana bapa dan suami masing-masing cuma ingin melindungi komuniti mereka dari anasir jahat, cuma mungkin tindakan mereka agak keras  dan diluar undang-undang.

Moral of the story:-

Yang ditangkap tidak semestinya jahat dan yang mengadu tidak semestinya baik.

Kalau nak masuk kawad cam, pastikan bawa baju tshirt dan seluar lebih, takut jadi insiden macam saya pula.

Jika anda adalah orang awam di kalangan kawad cam dan pengadu asyik menunjukkan bahawa andalah penjenayah, bukan bermakna anda akan ditangkap. Lebih-lebih lagi ketika waktu kejadian anda berada di kawasan lain seperti yang berlaku pada rakan saya Nazrul.




TERIMA KASIH kerana sudi membaca Nukilan FANTASI dan TAHYUL saya.  Segala diatas adalah rekaan dan ciptaan semata-mata. Sebarang persamaan dari segi nama, hati dan perasaan adalah kebetulan yang menakjubkan.

Friday, July 07, 2017

Time Is Crucial

Waktu-waktu yang mendesak akan dilalui dalam tempoh beberapa minggu ini. Semuanya untuk menyiapkan markah-markah students. Mungkin blog ini akan tergendala sebentar.

Wednesday, July 05, 2017

Raya Raya 2017


Alhamdulillah, 1 Syawal tahun ini dilalui tanpa sebarang insiden yang boleh menggugat kedamaian menyambut hari kemenangan. Biasanya insiden melibatkan perut terkejut akibat terlalu banyak makan dan minum. Sudah beberapa tahun saya control pemakanan saya pada awal Syawal kerana sebelum-sebelum ini pasti akan sakit perut. 

Syawal kali ini cuaca agak dingin di kedua kampung saya dan mertua, bukannya panas membahang. Anak-anak pun seronok cuma biasalah budak bandar, badan bengkak-bengkak kena gigit macam-macam benda seperti nyamuk dan serangga-serangga lain. 

Banyak juga persiapan untuk hari raya kali ini. Alhamdulillah ada rezeki lebih untuk dikongsi bersama keluarga dan sahabat handai. Persiapan pun sederhana, kuih kami buat sendiri dan ada juga yang dibeli oleh rakan-rakan yang memang dah biasa beli dengan kami. Ada beberapa perkara yang saya observe untuk raya kali ini.

1. Servis kereta di service center seperti biasa menjelang syawal orang semakin ramai. Nasib baik dah kenal dengan Service Advisor, boleh selit booking. Mileage kereta lagi 2.5k nak sampai ke mileage servis tapi terpaksa juga masuk sebab takut nanti mileage banyak guna time raya. Recommended aircond service saya tangguh dulu sebab tak nak tunggu terlalu lama di service center. Mengantuk sangat waktu pagi Ramadan ni.

2. Balik raya merupakan satu pengalaman menempuh sesak di lebuhraya bertol setiap tahun jadi setiap kali nak balik beraya, perlu fikir macam-macam strategi untuk minimize kan impact. Tahun ini balik sehari sebelum Hari Raya, oleh kerana tarikh 1 Syawal dah fix atas kalendar, tak macam zaman sebelum ini dimana tarikh betul2 based on anak bulan, senanglah sikit nak atur strategi pulang raya. 


Sesak di Lebuhraya. Ini gambar Raya ke 4, masa nak menghala Utara. Sesak menghala ke KL


3. Kami balik awal pagi, selepas waktu sahur. Kenderaan masa tu dah macam pukul 8.30 malam hari minggu. Tahun ini pulang ke selatan dahulu. Sebelum gerak, check di Waze, Google Maps, Twitter Plus dan FB Lembaga Lebuhraya Malaysia. No incident, no traffic jam. Bila dah masuk Elite, agak risau sebab kereta banyak walaupun lancar. Kawan senegeri gerak pukul 0700 hrs bagitau dalam whatsapp, jalan dah start jem. 

4. Penggunaan internet di kalangan tetamu begitu obvious terutama di kalangan orang muda dan remaja. Datang ikut mak ayah beraya di rumah parents saya, mak ayah je berbual, anak-anak tunduk pegang smartphone. Saya jenguk jenguk juga smartphone diorang, majoriti ber whatsapp atau WeChat. Mak ayah duduk lama pun mereka tak kisah, janji ada mobile internet. Ada juga yang main Game. Anak-anak yang lebih kecil pegang tablet main game. 

5. Takbir rumah ke rumah di kampung saya masih diteruskan. Alhamdulillah. Kali ini lebih ramai peserta dan rumah yang dikunjungi ada dalam 10 buah rumah. 

6. Kebiadaban sesetengah pemandu pada musim raya kali ini nampak berkurangan. Mungkin faktor kos dan gaya hidup yang agak sempit tahun ini menyebabkan mereka berhati-hati untuk memandu dalam keadaan huru hara. Maklumlah, kalau dah berlanggar, sakit dapat, kereta pun kena repair, kos  semua tu.

7. Kehulu kehilir nak tukar duit di bank semakin ketara. Pergi bank ni katanya tarikh tak pasti bila boleh tukar duit, lepas tu kalau ada pun duit, ada pula waktu-waktunya, pagi sampai tengahari je. Pergi bank lain pulak, katanya awal puasa dah habis, tak tau bila stok baru sampai. Selidik punya selidik, tanya kawan sana sini, guna orang dalam bank lebih senang nak tukar duit. Hish, nak tukar duit raya pun nak guna kabel. Last-last saya dan rakan-rakan ofis pergi ke satu bank di kawasan penduduk cina ramai, bila kami masuk, kami sahaja customer melayu. No question asked, isi borang dan tukar duit. Takde masalah. Separuh hari bekerja habis nak tukar duit raya yang tak banyak mana pun. Makin lama makin susah pula, ini pun kena atur strategi macam nak berperang. 

8. Rumah-rumah yang saya pergi beraya waktu minggu pertama Syawal kuih raya dah tak banyak mana. Tak tau la kalau rumah-rumah saya tak pergi tu kuih setimbun. Isteri saya kata, harga mahal, sebab barang-barang buat kuih ni harga naik kaw kaw.

9.Balik dari cuti hari raya seminggu, macam-macam perancangan untuk jamuan hari raya. Ada jamuan raya sekolah kebangsaan anak, jamuan raya tadika anak, jamuan raya sekolah agama anak, jamuan raya ofis, jamuan raya taman dan macam-macam lagi. Ada yang datang bawa diri makan sahaja, ada yang kena hulur sumbangan, ada yang kena bawa makanan. 

10. Apa-apa pun, selamat hari raya. Sekarang masa untuk cari hari untuk lengkapkan Puasa Enam. Harap tahun ni dapat la penuh Puasa Enam, 24 Julai ni last Syawal. 

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.

Saturday, July 01, 2017

Misteri Di Lokasi Kemalangan


Kisah ini sebenanrya ada dimuatkan di blog lama saya pada 12 Mac 2013. Saya garapkan kembali di .com ini kerana ia merupakan salah satu perkara aneh yang terjadi dalam hidup saya. Ini bukan bererti saya cenderung ke arah perkara yang tahyul tetapi kisah-kisah sebegini mempunyai tarikan tersendiri kepada mereka yang membaca dan mendengarnya. Kebetulan ia benar-benar terjadi pada saya, so why not I blog about it. Ceritanya adalah dibawah. Tiada sebarang editing baru dilakukan. Saya ambil bulat-bulat dari blog lama saya.

Sebelum saya terlupa insiden ini biarlah saya coretkan agar menjadi salah satu pengalaman dalam hidup saya.

Ia terjadi beberapa minggu lepas. Saya ke satu kawasan taman perumahan untuk berjumpa dengan seorang rakan. Jalan ke taman perumahan rakan saya ini gelap dan panjang merentasi hutan namun terdapat beberapa simpang berlampu isyarat dan sebelum jam 12 malam jalan ini memang agak sibuk.
Dalam perjalanan pulang ke rumah melalui jalan gelap ini, kira-kira 500 meter dihadapan saya akan menempuh lampu isyarat simpang tiga di mana di kawasan ini agak terang dengan lampu jalan. Saya melihat beberapa buah kenderaan dari arah bertentangan memberikan lampu tinggi, tanda ada sesuatu. Pada pemikiran saya, mungkin ada sekatan jalan raya di hadapan. Apabila saya sampai di lampu isyarat, nampak sekumpulan manusia sedang berkerumun dan seorang lelaki terbaring. Rupanya ada kemalangan berlaku. Saya lihat jam tangan, 1o,45 malam.
Saya berhenti di tepi jalan, bertentangan dengan lokasi kemalangan. Ketika itu semuanya berada di seberang jalan mengerumuni lelaki terbabit yang sedang terbaring. Saya hanya berdiri di seberang jalan kerana risau jika ada kenderaan lain yang terbabas, maklumlah kawasan sekitar gelap dan hanya ada lampu jalan betul-betul di lokasi kemalangan.
Selepas saya berhenti, ada sepasang kekasih (saya duga) juga berhenti di tempat saya dan juga seorang lelaki india dalam lingkungan umur 50-an. Saya melihat mangsa kemalangan dalam keadaan nazak dengan darah begitu banyak mengalir dari kepalanya. Rupanya sebuah van telah merempuh motosikal mangsa. Di belakang saya adalah hutan belantara. Sesekali terdengar burung bersahutan. Jam 11.30 ambulans sampai dan membawa mangsa ke hospital.
Kini, hanya tinggal darah bertakung di lokasi. Ketika itu masih  ramai orang lagi di kawasan lokasi namun hanya kami berempat sahaja yang berada di seberang jalan, masih berbual sesama kami berkenaan kejadian kemalangan tersebut. Masih kedengaran bunyi burung dari hutan di belakang saya. Burung apa saya tak pasti tapi saya sering mendengar bunyi burung tersebut di kampung pada malam hari.
Saya nampak seorang pemuda dari kumpulan seberang jalan mengambil baldi besar berisi air. Darah di lokasi dibersihkan dengan dituang air. Tiga baldi penuh diperlukan untuk menghilangkan darah. Ketika air dari baldi pertama dicurah atas darah, bunyi burung di hutan belakang saya semakin hebat dan semakin banyak. Kami berempat di seberang jalan berpandangan. Lelaki India tadi melihat saya sambil memberikan isyarat kurang enak dengan situasi di hutan belakang kami. Begitu juga pasangan kekasih. Anehnya, habis sahaja baldi ketiga dicurah airnya bunyi burung-burung tersebut lenyap.
Kami berempat kemudian beredar. Dan saya seperti biasa terpaksa ke kedai mamak supaya tiada apa yang mengikut saya pulang kerana saya punya dua orang anak yang masih kecil. Ditakuti mereka diganggu.
Aneh tapi benar.