Monday, February 06, 2017

Signifikan Latihan Industri di dalam bidang Pengurusan Rekod


Ketika saya menjadi koordinator latihan industri untuk program saya iaitu pengurusan rekod, saya banyak menghantar para pelajar menjalani latihan industri di organisasi-organisasi yang terdiri dari sektor kerajaan dan juga sektor swasta. Tujuan utama ialah agar pelajar-pelajar ini dapat menimba pengalaman sebenar di dalam pekerjaan.

Pelbagai kisah yang saya perolehi dari pelajar-pelajar ini hasil dari pengalaman mereka. Ada yang mengatakan bahawa mereka menjadi mangsa work politics, ada yang bekerja dalam keadaan fasiliti tidak mencukupi dan ada juga yang terpaksa bangun awal pagi untuk ke organisasi dan tiba di rumah lewat petang. Bagi saya itu semua cabaran yang perlu mereka lalui dan ia juga diakui oleh mereka. 

Banyak juga pengalaman positif yang saya terima dari pelajar-pelajar ini, malah ianya mengatasi kisah negatif. Antara perkara positif yang saya terima dari mereka ialah, latihan industri mematangkan mereka, mengubah persepsi mereka terhadap alam pekerjaan hingga meningkatkan keyakinan diri, menambah multi skill mereka, memperolehi ilmu baru dan yang penting, ramai juga yang ditawarkan bekerja di organisasi tempat mereka menjalani latihan industri. Ini semua merupakan objektif utama saya ketika menghantar mereka-mereka ini menjalani latihan industri.

Sepanjang pengalaman saya menguruskan latihan industri, satu perkara yang saya dapati ialah terdapat HR Manager dari organisasi terutama sektor swasta yang terkejut bahawa terdapat kursus pengurusan rekod di peringkat Degree dan mereka akui bahawa ianya penting dalam organisasi. Kebiasaannya, mereka-mereka ini akan terus mengambil pelajar-pelajar ini bekerja dengan mereka untuk menguruskan rekod. 

Ini merupakan satu langkah yang baik juga untuk mempromosikan bidang pengurusan rekod kepada organisasi-organisasi ini lebih-lebih lagi apabila bidang pengurusan rekod ini sememangnya penting untuk melancarkan operasi sesuatu organisasi.