Baru-baru ini kita digemparkan dengan
peristiwa pembunuhan seorang lelaki di sebuah stesyen minyak. Stesyen minyak
itu pula terletak di sebuah bandar besar dan sewaktu kejadian, masih ramai
orang berada di situ. Keadaan pula sibuk.
Kejadian tersebut dirakam oleh salah
seorang saksi menggunakan smartphone beliau. Video tersebut kemudiannya menjadi
viral. Ramai yang telah menyaksikan video tersebut. Rata-rata netizen
mengeluarkan pelbagai kenyataan. Ada yang mempersoalkan kenapa perakam tidak
menelefon polis. Ada yang marah kerana orang ramai tidak berbuat apa-apa.
Berdasarkan video dan laporan akhbar
kemudiannya, mangsa ditikam ketika sedang bergelut dengan penyerangnya. Ini
membuktikan bahawa penyerang mempunyai senjata. Adalah bahaya bagi orang ramai
untuk membantu jika tiada sebarang ilmu mempertahankan diri atau alatan yang
boleh digunakan agar tidak diserang oleh penyerang.
Bagi saya, tindakan perakam sedikit
sebanyak membantu pihak polis untuk menyiasat kes. Wajah suspek dan kenderaan
suspek dapat dikesan. Rakaman tersebut boleh membantu pihak berkuasa melihat
bagaimana mangsa dibunuh, sekaligus boleh membantu dalam proses pendakwaan.
Hampir 20 tahun lepas, saya pernah melihat
satu kejadian samun berlaku di hadapan sebuah bank. Seorang lelaki yang baru
sahaja mengeluarkan duit berjumlah puluhan ribu. Suspek berlari kearah sebuah
kereta Proton Wira tidak jauh dari lokasi kejadian. Orang ramai yang berada di
restoran melayu tempat saya bersarapan keluar dan mengejar suspek. Turut serta
beberapa pelanggan di restoran cina bersebelahan. Tiba-tiba beg berisi duit
jatuh dari tangan suspek. Suspek ketika itu sudah hampir sampai ke kereta
Proton Wira.
Saya ingatkan suspek akan dibelasah oleh
kami. Rupa-rupanya yang mengejar ada dalam belasan orang semuanya turut
berhenti. Suspek sempat kutip beg dan masuk ke dalam Proton Wira.
Kami semua tertanya-tanya kenapa kami semua
berhenti mengejar apabila beg jatuh dari tangan suspek. Rupanya semua takutkan
geng suspek di dalam Proton Wira. Takut apabila kami dapat keroyok suspek, geng
suspek keluar dari kereta membawa senjata api dan menembak kami.
Tidak guna menjadi HERO tanpa persiapan
diri dan kelengkapan yang sempurna. Tak bererti kita pernah tangkap remaja curi
buah kelapa, kita mampu tewaskan perompak bank. Menangkap orang berkhalwat
tidak sama dengan cubaan mencegah pergaduhan bersenjata sesama kongsi gelap.
Perlu kita ingat, penjenayah ini adalah
mereka yang nekad. Sanggup mati jika dihalang. Paling penting, ingat segala
butiran kejadian dan terus laporkan ke polis. Pihak polis ada sumber dan
keupayaan yang cukup untuk membuat tangkapan. Isteri saya pernah cuba diragut
dihadapan saya namun gagal. Saya ambil keputusan ekori peragut sambil telefon
polis. Saya bercakap terus dengan anggota polis di bahagian Gerakan Ibu Pejabat
Daerah. Antara maklumat yang saya salurkan adalah jenis motosikal, nombor plet
motosikal, berapa orang atas motosikal dan pakaian serta helmet mereka.
Kemudian motosikal tersebut hilang dari pandangan. Namun saya yakin, polis akan
mencarinya. Memang benar, 15 minit kemudian saya dapat panggilan dari polis
menyuruh saya datang membuat laporan berkenaan cubaan meragut. Suspek telah
ditangkap. Kebetulan, yang menangkapnya adalah rakan saya juga yang sedang
bertugas membuat rondaan.
Untuk makluman, jika maklumat awal dan
tepat berjaya disalurkan kepada polis, pihak polis akan membuat hebahan kepada
seluruh anggota dan pegawai yang sedang menjalankan rondaan. Hebahan bukan
sahaja dilakukan di daerah berlakunya kejadian, malah dilakukan juga ke
daerah-daerah berhampiran. Bererti jika penjenayah melakukan jenayah di Klang
dan kemudian terus lari ke Banting, polis Banting pun dah standby.
Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Kalau
dalam diri kita membuak-buak sifat untuk mencegah jenayah, sertailah
Sukarelawan Simpanan PDRM atau dikenali sebagai PVR (Police Volunteer Reserve).
Di sana, anda dilengkapi dengan ilmu dan pengetahuan untuk mempertahankan diri ketika
menangkap penjenayah. Anda juga dilengkapkan dengan peralatan khas ketika
bertugas. Kalau diluar tugas, tanpa peralatan khas, gunakanlah akal. Jangan
main terjah, silap-silap kita yang jadi mangsa. Cepat hubungi bantuan. Dalam
masa yang sama, kumpul maklumat berkenaan selengkap yang boleh. Amati suspek
untuk sebarang bentuk yang boleh digunakan untuk pihak berkuasa mencari dan
menangkap. Kadangkala maklumat yang
loose seperti ‘Suspek naik moto, tapi no.plet saya tak nampak,moto tak pasti
kaler dan jenis apa, suspek saya tak pasti bangsa apa, helmet kaler apa pun
saya tak tau, yang saya tau suspek naik moto. Berapa ramai pun saya tak ingat,
sorang ke berdua, saya panik’. Maklumat sebegini akan menyukarkan polis mencari
suspek lebih-lebih lagi suspek melarikan diri ke jalan besar yang ada banyak
kenderaan.
Whatever it is, information is power.
Kejadian yang berlaku di Shell Taman Pelangi menunjukkan betapa power nya
information dalam bentuk rakaman saksi. Ia banyak membantu. Cuma agak gusar
ianya diviral sebegitu rupa kerana bukan semua dari kita yang mempunyai jiwa
untuk menyaksikan sesuatu yang ganas seperti itu. Ditakuti ada yang trauma.