Sunday, June 05, 2016
Selamat Menjalani Ibadah Puasa
Apabila Ramadan tiba, pelbagai perkara yang boleh saya lihat berlaku disekeliling saya. Malam solat tarawih yang pertama, surau di kawasan perumahan saya akan penuh sepenuhnya. Alhamdulillah, di taman saya terdapat dua surau berhampiran, salah satunya terletak di taman sebelah yang jaraknya kira-kira 2 kilometer dari taman perumahan saya. Kedua-duanya akan penuh pada minggu pertama dan kedua. Walaupun pada minggu ketiga dan keempat ianya menyusut tetapi jumlah jemaah yang hadir masih lagi dikira ramai. Surau di taman saya agak kecil sementara surau di taman sebelah telah diupgrade keluasannya kerana ia digunakan sekali untuk solat Jumaat.
Pada bulan Ramadan inilah akan muncul bisnes-bisnes homemade kuih raya. Antara yang menjalankan bisnes ini ialah isteri saya. Namun dia hanya menjual kecil-kecilan kepada rakan-rakan terdekat dan untuk tahun ini, katanya dia akan fokus kepada kuih-kuih tertentu sahaja.
Seminggu sebelum bermula Ramadan, tempat membeli belah di bandar terdekat telah mula menjual baju raya. Saya telah membeli lebih awal untuk keluarga dan juga untuk diri saya. Saya kurang gemar membeli belah persiapan raya saat akhir.
Bazar ramadan, sesuatu yang memang telah lama wujud apabila tiba bulan Ramadan. Ada yang merupakan peniaga regular, iaitu yang sememangnya berniaga makanan dan minuman di luar bulan Ramadan. Ada pula yang hanya mula berniaga ketika bulan Ramadan sahaja. Saya pernah melalui pengalaman pahit membeli juadah yang basi dan juga yang tidak menepati selera tekak saya. Ada juga insiden saya sakit perut, muntah-muntah selepas makan juadah yang dibeli dari Bazar. Pengalaman pahit ini yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini ditambah dengan peningkatan harga menyebabkan saya amat jarang mengunjungi Bazar. Juadah iftar saya sekarang mudah, nasi dengan telur goreng pun memadai. Janji ada makan dan minum. Tahun lepas tidak sampai 5 kali saya ke Bazar Ramadan. Tahun sebelumnya, rakan saya berniaga air di Bazar Ramadan dan saya akui airnya memang sedap. Dia akan hantar air ke rumah saya selepas Bazar ditutup, sekitar pukul 8 malam. No problem bagi saya, yang penting dapat elak kesesakan di Bazar.
Cabaran utama untuk saya tahun ini ialah untuk menulis tesis saya pada waktu siang hari. Kebiasaannya saya akan menulis bertemankan kopi decaf.
Selamat Menjalani Ibadah Puasa di Bulan Ramadan. Semoga kita sama-sama memperolehi kejayaan dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment