image source : guardian.co.tt |
Entri di bawah saya ulang siar semula dari domain lama saya. Terdapat pelbagai rencah kehidupan di dunia ini yang tidak dapat dirasai oleh semua orang. Entri di bawah saya coretkan pada tahun 2012.
Sebelum perkara ini dilupakan begitu sahaja oleh saya, biarlah
saya coretkan pengalaman yang saya lalui semalam supaya ianya boleh
dikisahkan kembali jika diperlukan.
Segalanya bermula pada pagi semalam apabila saya dihubungi rakan
saya, Nazrul yang meminta bantuan saya untuk ke sebuah IPD di Lembah
Klang. Kebetulan pula kenalan lama saya bernama Johari merupakan anggota
polis di IPD terbabit. Saya dan Nazrul tiba di IPD sewaktu makan
tengahari kira-kira jam 1.30 dan kami makan bersama-sama Johari di
restoran belakang IPD terbabit.
Rupa-rupanya di restoran tersebut terdapat sekumpulan lelaki dari
lingkungan 20-an ke 40-an sedang makan dan salah seorangnya merupakan
rakan saya dan Nazrul, namanya Dino. Kesemua kumpulan lelaki terbabit
merupakan orang-orang Dino.
Menurut Dino, kesemua mereka akan menghadiri kawad cam dalam satu kes
pergaduhan. Johari mengakui bahawa rakan-rakannya ada menangkap
beberapa orang suspek yang terlibat dalam pergaduhan di kawasan
pentadbiran IPD tersebut. Dino merupakan rakan lama saya dan mereka yang
ditangkap merupakan kenalan Dino.
Nazrul, Dino dan rakan-rakan mereka yang berada di restoran akan
menjadi perserta kawad cam dimana mereka akan berdiri di celah-celah
suspek sebenar dan mangsa atau pengadu akan diminta menunjukkan orang
yang memukulnya kepada pegawai penyiasat. Kawad cam akan dijalankan
dalam beberapa pusingan dimana kedudukan para peserta kawad cam akan
berubah. Jika pengadu mengecam orang yang salah dalam setiap pusingan
atau gagal mengecam suspek yang sebenar, maka kes akan menjadi lemah
atau kes gugur bagaimanapun ia bukanlah satu mekanisma yang muktamad
untuk mengugurkan sesuatu tuduhan kerana saya juga tidak begitu arif
dalam bidang perundangan, ini hanya penerangan asas yang diberitahu
kepada saya sahaja.
Segalanya bermula apabila seorang detektif memanggil Dino, Nazrul dan
rakan-rakan mereka untuk ke Bahagian Siasatan Jenayah yang terletak
berhampiran. Ketika itu pula Johari meminta diri kerana perlu menghadiri
mesyuarat. Ketika itu jam sudah menunjukkan angka 2.30 petang.
Masalah timbul apabila bilangan orang awam yang akan menyertai kawad
cam tersebut tidak cukup. Saya tiba-tiba diajak turut serta dan
memikirkan bahawa jika saya tolak proses kawad cam tidak akan
berlangsung maka saya menerima tawaran terbabit. Lagipun tidak perlu
berkira dalam soal ini kerana kita sendiri tidak tahu untung nasib kita
satu hari nanti dan siapa yang akan menolong kita. Tidak perlu berlagak
sombong.
Sebelum memasuki bilik kawad cam, MyKad kami diserahkan kepada
detektif terbabit untuk difotostat. Saya dan rakan-rakan lain
kemudiannya memasuki bilik kawad cam tersebut. Suasana ketika itu amat
harmonis dan detektif-detektif yang bertugas juga amat professional dan
berbual dengan kami. Ada antara detektif yang saya lihat amat
menghormati saya, mungkin kerana kesanggupan saya turut dalam kawad cam
terbabit yang sekaligus membantu melicinkan kerja mereka.
Apabila masuk sahaja dalam bilik kawad cam, rupa-rupanya kesemua
suspek yang terlibat dalam kes pergaduhan terbabit ada di dalam bilik
itu dengan baju lokap dan tangan bergari. Saya terkejut melihat salah
seorang suspek kerana dia pernah bekerja bersama-sama saya. Dia juga
kelihatan terkejut dan terpinga-pinga melihat saya berada dalam bilik
kawad cam terbabit.
Perbarisan kawad cam dimulakan dan saya berada di nombor 8 sementara
rakan saya Nazrul di nombor 9. Kami berbaris dicelah-celah kesemua
suspek yang telah dibuka garinya dan baju lokap telah ditukar kepada
t-shirt biasa. Mangsa/pengadu kemudiannya dipanggil dan diiringi pegawai
penyiasat kes untuk mengecam kami dari luar bilik, di tingkap kaca.
Sememangnya lucu apabila mangsa mengecam rakan saya Nazrul sebagai orang
yang memukulnya. Selepas habis pusingan pertama, suspek-suspek lain
pula dipanggil masuk (jumlah suspek dalam kes ini agak besar). Orang
awam yang akan berbaris bersama suspek pula akan kekal.
Namun ketika inilah sesuatu berlaku. Salah seorang suspek tidak dapat
memakai baju tshirt biasa untuk menggantikan baju lokap kerana badannya
besar. Dan kebetulan badan saya besar, detektif meminta jasa baik saya
untuk meminjamkan baju saya kepada suspek. Saya sebenarnya boleh menolak
kerana ia bukan arahan tetapi dalam keadaan masing-masing inginkan
proses berjalan lancar, tanpa gangguan dan dapat dihabiskan pada
waktunya, maka saya memberi kan sahaja tshirt terbabit pada suspek untuk
digunakannya. Ketika itu suasana dalam bilik kawad cam amat tengik dan
busuk serta panas dan tiada pengaliran udara kerana penghawa dingin
rosak.
Maka berdirilah saya tanpa baju di tepi bilik kawad cam menunggu
sehingga proses kawad cam selesai dan apabila saya menerima kembali baju
saya, segala macam bau tengik dan busuk melekat. Dua kali saya terpaksa
mandi sekembalinya di rumah barulah bau tengik dan busuk itu hilang.
Selesailah sudah satu perkara yang saya pasti tidak ramai rakan-rakan
ahli akademik saya akan lalui iaitu menjadi seorang suspek yang dicam
tanpa perlu melanggar undang-undang. Semestinya ini akan menjadi satu
pengalaman sepanjang perjalanan hidup saya.
Tentu anda tertanya-tanya apakah perjalanan kes ini. Oleh kerana kes
masih baru dan dalam siasatan, saya tidak akan menceritakan lokasi
kejadian. Sebenarnya, pengadu/mangsa dalam kes ini telah melakukan
sesuatu sehingga merosakkan akhlak remaja-remaja di satu komuniti. Telah
beberapa kali pengadu/mangsa ditegur oleh komuniti di situ namun
pengadu/mangsa hanya berhenti seketika, kemudiannya menjalankan kembali
aktivitinya yang salah di sisi undang-undang. Saya difahamkan aduan
telah dilakukan namun tidak diendahkan oleh pengadu/mangsa, mungkin
kesalahan yang dilakukan kecil di sisi penguatkuasa namun ianya memberi
impak negatif yang besar pada remaja di komuniti terbabit.
Berang dengan kejadian salah yang berterusan menyebabkan sekumpulan
lelaki dari komuniti terbabit bersemuka dengan pengadu/mangsa. Saya
difahamkan berlaku provokasi hingga menyebabkan pergaduhan dan
pengadu/mangsa yang pada mulanya merasakan dirinya kuat akhirnya tumbang
dikeroyok oleh kumpulan lelaki dari komuniti tersebut.
Seorang lelaki dari kalangan komuniti tersebut bernama Pak Salim
membawa pengadu/mangsa membuat laporan polis. Saya juga difahamkan Pak
Salim memang tidak digermari oleh komuniti disitu kerana berperangai
seperti samseng (mungkin juga samseng), dan pengadu/mangsa merupakan
sumber kewangan tetap Pak Salim.
Apa yang didengar juga ialah pengadu tidak mengalami apa apa
kecederaan serius, saya memang ada melihat sendiri pengadu ketika di IPD
dan memang tidak kelihatan apa-apa kecederaan pada pengadu.
Apa anasir jahat yang pengadu/mangsa lakukan? Biarlah rahsia kerana kes masih dalam siasatan.
Sebelum kami balik, MyKad kami dipulangkan dan nombor telefon kami dicatit.
Dan ketika saya keluar dari IPD saya lihat anak-anak dan
isteri-isteri semua suspek sedang menunggu bapa dan suami masing-masing.
Timbul perasaan sayu kerana bapa dan suami masing-masing cuma ingin
melindungi komuniti mereka dari anasir jahat, cuma mungkin tindakan
mereka agak keras dan diluar undang-undang.
Moral of the story:-
Yang ditangkap tidak semestinya jahat dan yang mengadu tidak semestinya baik.
Kalau nak masuk kawad cam, pastikan bawa baju tshirt dan seluar lebih, takut jadi insiden macam saya pula.
Jika anda adalah orang awam di kalangan kawad cam dan pengadu asyik
menunjukkan bahawa andalah penjenayah, bukan bermakna anda akan
ditangkap. Lebih-lebih lagi ketika waktu kejadian anda berada di kawasan
lain seperti yang berlaku pada Nazrul.
TERIMA KASIH kerana sudi membaca Nukilan FANTASI dan TAHYUL
saya. Segala diatas adalah rekaan dan ciptaan semata-mata. Sebarang
persamaan dari segi nama, hati dan perasaan adalah kebetulan yang
menakjubkan.
No comments:
Post a Comment