Wednesday, February 04, 2015

Misteri Di Depan Rumah (Revisited)





Entri ini saya petik dari blog isteri saya. Ini merupakan kisah benar yang saya alami di rumah yang saya duduki sekarang.  Tarikh yang dipaparkan di blog isteri saya ialah 26 April 2011 bererti kejadian dibawah berlaku sekitar bulan April 2011.

Dibawah merupakan kisah yang saya alami dari perspektif isteri saya.

Macamane nak mulakan yer??? Nak kata saya percaya sangat tu TIDAKLAH. Yang pasti dalam dunia ni macam2 makhluk Allah ada, sama ada boleh dilihat atau tidak. Saya tidaklah menghayati sangat kisah ini. Selama hampir 2 tahun lebih saya menetap di sini belum pernah lagi terjadi perkara aneh dalam hidup saya. Minta dijauhkan. Tapi saya percaya jika kita jaga solat, banyak berdoa dan selalu membaca Al-Quran Insyaallah benda2 mistik sukar untuk mendekati kita. Kisahnya macam ni.....

Suami baru nak keluar jam 11 malam, hari Jumaat 22 April untuk jumpa kawan lama sebab baru tau dia ada di sekitar taman perumahan ni bila tengok dia update status facebook. Sebenarnya sejak malam semalam kami dah perasan rumah budak-budak bujang jiran sebelah penuh dengan manusia. Hampir 10 orang rasanya. Kereta jangan cakap lah, melintang pukang depan rumah. Tapi sebab ingatkan diorang ada program, suami malas nak tanya apa apa. Rupa-rupanya masa nak keluar jam 11 malam nampak diorang semua dah berkumpul depan rumah. Salah seorang daripada mereka sembang dengan suami dan menceritakan hal sebenar.

Salah seorang dari mereka dirasuk oleh hantu perempuan dan syaitan ni sebenarnya duduk di pokok depan rumah kami. Pokok tu disebalik pagar zink. Mangsa rasuk ni pula (lelaki) kebetulan datang berkunjung ke rumah sepupunya yang merupakan jiran kami. Dan sejak dari hari khamis malam 21 April budak ni dah kena tapi tak dapat nak bergerak, duduk lah sepanjang hari tegak je depan TV. Sepupunya dan yang lain-lain ingat budak ni malas nak pergi makan tapi pelik sebab tangan pegang handphone sambil jarinya bermain-main sms. Bayangkanlah berjam-jam tak makan tak minum . Ini kisah hari Khamis malam Jumaat.

Bila budak budak rumah tu balik , tengok mangsa ni masih lagi duduk depan TV tegak je, diorang dah rasa pelik. Lebih pelik bila tengok mangsa pegang handphone terbalik tapi jari masih seperti main sms. Bila diorg tengok betul betul, jari mangsa menulis ayat minta diselamatkan, masa ni lah baru diorang semua panik. Dan bermulalah insiden rasukan. Malam itu juga dibawa seorang pengamal perubatan dari kawasan sekitar sini sehingga hampir subuh bertarung. Sempat syaitan mempermainkan kesemua yang berada di rumah jiran dengan mengatakan ketika itu waktu tengah malam bahawa ada kemalangan dahsyat di jalan utama kawasan perumahan. Siap bagi no.plet kereta lagi suruh diorang semua selamatkan budak kecik dalam kereta terbabit. Sebenarnya tiada kejadian kemalangan pun pada malam itu, Syaitan tersebut hanya nak mereka semua keluar dari rumah kerana ingin membawa terus mangsa ke alam mereka. Pada keesokan hari (Jumaat) nampak macam dah pulih rupanya masih belum lagi, syaitan mempermain-mainkan mereka semua, masih dalam badan mangsa. Ketika ini dipanggil seorang lagi pengamal perubatan dari luar kawasan.

Pengamal perubatan ni berjaya tangkap kesemuanya dan diikat dalam kain hitam. Kain hitam kemudian diletak dahulu di pokok berhampiran pokok asal tempat tinggal syaitan terbabit kerana diminta tanam di tanah perkuburan pada keesokannya hari Sabtu 23 April. Ketika pengamal perubatan kedua ni dah balik, suami saya yang kebetulan nak keluar nampak ramai orang dan mereka bercerita. Setelah mendengar tentang kejadian, suami menelefon rakannya minta tolong tengok. Kemudian rakan suami memberitahu masih ada seekor yang tertinggal dan meminta izin untuk ke rumah jiran. Jiran-jiran kebetulan berada di restoren mamak bistro dan ketika suami dan rakannya sampai jiran-jiran memberitahu memang ada seekor lagi yang tidak dapat ditangkap. Bagaimanapun ianya tidak dapat dilakukan kerana seekor ni memang sudah lama dalam badan mangsa. Yang jadi havoc sebab lagi 7 ekor yang duduk di pokok depan rumah tu masuk dalam mangsa pada sekitar jam 1 pagi Khamis ketika mangsa sedang duduk berseorangan berhampiran pokok. Suami pun pelik sebab pada waktu tu kebiasaannya sebelum tidur dia akan buang sampah. Memang tak pernah nampak apa apa pun.

Malam itu suami dan rakan-rakannya serta budak budak rumah sebelah semua berkumpul di hadapan pokok tersebut. Rakan suami mengatakan bahawa tiada lagi tanda-tanda masih terdapat syaitan tu kat situ. Kawan suami pesan jangan bagitau saya, yelah takut saya menghayati cerita ini dan jadi takut. Tapi bagi saya selagi kita jaga solat Insyaallah benda tu tak kacau. Lagipun ini kawasan rumah saya, macamane sekalipun kita kena pertahankan, semangat kena kuat. Yang penting malam2 jangan husband outstation sudahler..hehe

Pada Khamis malam Jumaat tu pun kami balik lewat dari pasar malam, tiada pula kedengaran apa apa yang aneh. Erm, Itulah alkisahnya...Benda tu pun dah selamat di buang. Harapnya tidak lagi menganggu.

Dalam kain hitam tu katanya benda yang berjaya ditangkap. Wallahualam..

Kain hitam disangkut di pokok hadapan rumah
Bulatan merah merupakan pokok yang ada 'penghuninya' seperti yang didakwa
Itulah secebis coretan isteri saya yang mendengar kisah pengalaman dari saya sendiri. Sejujurnya selepas kes tersebut, ada lagi kes yang berlaku terhadap jiran saya itu. Kes yang ini juga saya ambil dari catatan blog isteri saya. Kes kedua terhadap jiran saya dicoretkan dibawah, dari sudut perspektif isteri saya. Kes berlaku sekitar bulan April 2012.


Minggu lepas ketika daddy sedang menonton Champions League Live antara Barcelona menentang AC Milan, dia terdengar bunyi sesuatu di luar rumah. Ketika itu katanya jam 4 pagi. Bila saya tanya bunyi apa yang didengarnya, katanya bunyi seperti mengilai, cuma ketika itu hati Daddy berbisik mengatakan mungkin suara jiran ketawa. Sebenarnya beberapa hari sebelum insiden diatas, ada jiran kami yang kerasukan. Ketika itu kami baru nak keluar rumah nak pegi makan malam apa bila salah seorang jiran kami menegur Daddy. Saya ketika itu di dalam kereta bersama Humaira dan tidak tahu apa yg mereka bualkan. Cuma ketika masuk ke dalam kereta, ada saya tanyakan Daddy tapi dia jawab just bertanya khabar. Kami pulang sekitar jam 10 malam dan selepas saya dan Humaira masuk bilik, dengar pintu depan dibuka, tanda Daddy keluar rumah. Sehingga saya tertidur jam 11 lebih malam Daddy masih tidak masuk kembali ke dalam rumah. Saya tidak kisah sebab kebiasaannya Daddy keluar dan bersembang depan pagar rumah dengan kawan-kawan dan jiran-jiran. Cuma kali ini agak pelik apabila saya tersedar Daddy pulang kembali ke rumah dan dalam keadaan mamai, saya lihat Daddy membaca sesuatu dan menghembus kearah saya dan Humaira. 

Ada saya tanyakan Daddy kenapa, tapi dia tak jawab. Keesokannya baru Daddy bercerita bahawa ketika kami mahu keluar makan, jiran kami meminta tolong Daddy carikan orang yang pandai mengubat. Isteri adik jiran saya rupanya kerasukan. Daddy panggil kawan dia datang malam tu, saya tanya Daddy macam mana keadaan.. katanya tiada apa yang serius. 

Saya tak puas hati sebab tau Daddy sembunyikan sesuatu dan setelah saya desak barulah Daddy bercerita. Rupanya mangsa adalah perempuan awal 20-an dan baru berkawin dengan adik jiran kami. Kebetulan adik dia datang melawat rumah abangnya bersama isteri baru. Ketika malam menjelang, isteri adik jiran kami berdiri di hadapan sliding door memandang ke arah luar rumah, lebih tepat lagi ke pokok didepan rumah kami. Saya pernah ceritakan kisah misteri pokok di hadapan rumah. Pada mulanya jiran saya dan adiknya tidak mengesyaki apa-apa tapi setelah hampir 30 minit berdiri di sliding door tersebut tanpa bergerak, perasaan hairan mula menerjah pemikiran jiran saya dan adiknya. Ketika ditegur oleh suaminya, rupanya perempuan tersebut (saya namakan dia Wati) dengan mata terbeliak memandang keluar dan badannya kejung. Menyedari sesuatu yang aneh berlaku, jiran saya dan suami Wati membaca ayat-ayat suci, barulah Wati tersedar dan menangis. Ini kejadian sehari sebelum jiran saya berjumpa Daddy. 

Keesokannya harinya menjelang magrib, terjadi lagi kejadian yang sama dan sekali lagi jiran saya dan suami Wati berjaya memulihkan Wati. Tapi apabila hati sudah tidak sedap, maka tindakan yang lebih drastik perlu diambil kerana ini adalah kali kedua Wati berdiri tegak di sliding door. Selepas magrib ketika kami hendak keluar itulah jiran Daddy ni jumpa Daddy. 

Daddy pada mulanya sekadar menelefon rakannya ini jika dia nak mencuba memulihkan Wati. Maklumlah rakan Daddy ni menurut Daddy langsung tidak ada ciri-ciri mengubat orang, hidup dia penuh dengan ketawa, lawak jenaka macam Raja Lawak. Cuma Daddy pernah dengar dari kawan dia yang lain, kawannya ni minat dengan perubatan tradisional. 

Sebelum kawan Daddy tu datang, suami Wati ada call Daddy bagitau suruh berubat esok aje. Tapi Daddy kata kawannya on the way. Bila kawan Daddy sampai, Wati macam tak berapa senang dengan kawan Daddy yang bernama Sahak ni. Kata Daddy, waktu tu jiran dia sekeluarga keluar, hanya Wati dan suaminya, Daddy dan Sahak serta pembantu Sahak namanya Duan. Mula-mula keadaan seperti biasa, Sahak macam biasa dengan lawaknya sambil tanya Wati macam-macam. Daddy ingat Sahak merapu apabila dia cakap dengan Wati suruh buang apa yang dia ada. Akhirnya Sahak memulakan upacara mengubat Wati. Masa tu Daddy cakap, dia macam tak berapa confident Sahak ni betul-betul nak mengubat Wati. 30 minit pertama Wati cuma resah dan suaminya cuma pegang tangan Wati. Tapi masuk fasa kedua Daddy cakap, dia dan Duan terpaksa bantu suami Wati pegang Wati sebab tenaga luar biasa. 

Saya gerun juga bila Daddy cakap suara Wati berubah garau, mata terbeliak sehingga nampak mata putih dan rambut mengurai. Sesekali Wati jeling arah Daddy macam marah. Banyak kali Daddy cakap Wati menjerit kesakitan. Masa tu pintu rumah jiran kami dibuka luas dan kata Daddy aktiviti di luar sangat lah meriah, boleh dengar suara jiran bersembang, suara anak anak jiran berlari lari. Tapi keadaan dalam rumah ketika itu menyeramkan. Daddy nampak ada lintasan putih di pintu rumah jiran. Rupanya kata Sahak, ada tiga lembaga iaitu lelaki dewasa, perempuan dewasa dan anak berada di pintu rumah jiran. Mula-mula Sahak ingatkan jiran sebelah menyebelah datang nak bantu tapi bila Sahak tengok lama-lama, muka mereka macam muka marah dan tiba-tiba terbang melayang. Yang ini Daddy tak nampak, dia cuma nampak lintasan putih. Dipendekkan cerita segalanya pulih seperti sediakala. Rupanya Wati ni ada membela syaitan (saka) yang diwarisi dan apabila dia berkunjung ke sini, 'benda' di pokok depan rumah kami tu tak suka pada syaitan Wati. Sebab itulah wujud ganggguan. Kata Wati (setelah dia pulih, sejak dia sampai ke rumah abang iparnya, sentiasa ada lembaga lelaki, perempuan dan anak berada di luar rumah dan sehari sebelum berubat, kira-kira jam 2 pagi, kata Wati dia sekali lagi ke sliding door apabila terdengar namanya diseru dan melihat lembaga-lembaga tersebut di luar pagar dengan mata merah dan muka yang marah. Paling Daddy seram apabila Wati kata waktu tu dia nampak Daddy buang sampah (Daddy memang suka buang sampah sebelum tidur), dan lembaga bertiga tu ada berhampiran Daddy. (Daddy kata dia rasa macam biasa je waktu tu).
 
Selepas kes kedua ini, tiada lagi kedengaran apa-apa kes di rumah jiran saya. Rumah jiran saya(sebelah rumah) pun sudah bertukar pemilik. Pemilik baru ini suami isteri kerja syif. Sering balik tengah malam bersama anak kecil mereka sekitar umur 2 tahun. Tiada apa-apa kisah yang berlaku pada mereka setakat ini. Sebenarnya kira-kira dua minggu sebelum kejadian, saya tidur di ruang tamu dan saya bermimpi hari sudah pagi dengan matahari yang sangat cerah dan terik tetapi tidak panas. Di tingkap ruang tamu, saya melihat ada seorang lelaki, seorang wanita tidak bertudung dan seorang kanak-kanak lelaki sekitar umur 5-7 tahun dipimpin oleh wanita tersebut. Ketiga-tiga mereka berdiri dalam jarak yang agak jauh dari tingkap (saya boleh nampak kaki mereka terawang-awangan), dan ketiga-tiga mereka senyum pada saya. Keadaan diluar ketika itu bukanlah seperti keadaan didepan rumah saya tetapi seperti ada padang rumput menghijau, sebatang pokok dan burung-burung terbang berkicauan. Ketika itu lah saya terjaga. Rupanya keadaan diluar rumah dari pandangan tingkap saya, masih gelap. Tengok jam, hampir pukul 4 pagi. Ketika kes kedua diatas berlaku dan apabila di mention tentang lembaga tiga sekeluarga tersebut, saya terkejut dan lantas teringat akan mimpi saya.
 
Sebenarnya, sebelum kes pertama diatas, kami telah mendengar sesuatu di kawasan luar rumah kami, kejadian ketika itu berlaku sekitar bulan Januari 2011 dimana ketika itu anak saya diserang demam panas dan sedang merengek. Jam waktu itu menunjukkan 1.05 pagi saya dan isteri mendengar sekumpulan anjing menyalak mengejar sesuatu dari hujung jalan rumah kami hinggalah dihadapan rumah kami. Mulanya ingatkan pencuri dan saya ingin keluar rumah untuk melihat, tetapi apabila terdengar tangisan wanita mendayu-dayu di celah-celah lolongan kumpulan anjing tersebut, isteri menghalang saya keluar rumah kerana anak masih demam. Itulah pertama kali kami mendengar insiden seperti itu selepas 2 tahun menetap di rumah yang kami duduki sekarang.
 
 


No comments:

Post a Comment