Ketika sedang melakukan sedikit 'research' mengenai cultural heritage di Malaysia, saya menjumpai berita di bawah. Tajuknya adalah Manuskrip Melayu Yang Menggemparkan. Setelah dibaca, memang menarik kandungannya cuma saya tidak memuatkan di dalam penulisan saya kerana ianya tidak begitu relevan.
BANGI, 8
Okt 2013 – Sebuah manuskrip lama Melayu mengenai ilmu ghaib yang
dihasilkan lebih seratus tahun lalu untuk seorang bilal masjid,
menunjukkan gambar dan grafik yang jelas dipengaruhi agama Hindu dan
Buddha.
Penyelidik
budaya dan manuskrip Melayu, Dr Farouk Yahya berkata manuskrip itu
menunjukkan bagaimana orang Melayu zaman lampau meminati amalan sihir
dan jampi serapah yang menyimpang dari asas Islam.
Dalam wacana beliau mengenai manuskrip Mantera, Azimat dan Ramalan Berilustrasi Dalam Koleksi The School of Oriental And African Studies (SOAS) di London, Dr Farouk berkata naskah itu merupakan buku panduan untuk amalan sihir dan tilik.
Wacana dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM (ATMA).
Dr Farouk,
yang membuat penyelidikan di SOAS, berkata gambar-gambar dan rajah
yang dilukis dengan tangan ada banyak kesamaan dengan bentuk tubuh
lukisan yang digunakan dalam sihir untuk dera atau bunuh orang melalui
sumpahan dalam budaya Siam dan Kemboja.
Ia seakan-akan pujaan voodoo dan Sante Ria di negara-negara Caribbean Amerika tengah.
Apa yang
berlainan ialah ayat-ayat suci Al Quran ditulis dalam bentuk badan
lukisan itu, bersama dengan tulisan Hindu yang merupakan mantera.
Dr Farouk
berkata di antara manuskrip Melayu yang berkaitan dengan ilmu mantera,
azimat dan tilikan, naskah asli itu yang digelar MS 25030 telah banyak
mendapat perhatian pengkaji tamadun Melayu di Eropah.
Ramai yang
meminati isi kandungan MS 25030 kerana teks dan grafik yang memaparkan
contoh-contoh berunsur ajaib dan mistik budaya Melayu.
Tambahan
pula, penyalinan manuskrip telah ditugaskan oleh seorang pegawai masjid.
Ia menunjukkan satu “Syncretism”, ia itu percampuran antara kepercayaan
sihir dan Islam, yang merupakan satu percanggahan.
Dalam
wacana beliau, Dr Farouk membincangkan latar belakang manuskrip dan
menyiasat lukisan dan rajah yang terkandung di dalamnya, yang berkait
dengan karya lain mengenai sihir dan tilikan Melayu kuno.
Apa yang
memeranjatkan para hadirin di wacana itu ialah bagaimana manuskrip yang
dimiliki orang Islam itu memberi keterangan bagaimana untuk “membuat”
orang melalui jampi. Menurut naskah itu, rajah dan gambar tubuh manusia
hendak dilukis di atas tanah dengan nama simangsa dan ayat-ayat suci
Al-Quran tertentu, lalu orang yang hendak membuat sihir perlu buang air
besar atau kecil atau ludah ke atas lakaran.
Mengikut manuskrip itu, orang yang hendak di dera akan jatuh sakit atau meninggal dunia dalam keadaan penuh penderitaan.
Manuskrip
itu pernah dimiliki oleh seorang warga Kota Baru, Kelantan yang
dikenali sebagai Tuan Bilal Hj Yusuf Bilal di antara tahun 1906 dan
1907.Beliau dipercayai bilal di sebuah masjid yang dinamakan masjid raja
di bandar itu. Bagaimana pun kajian menunjukkan tidak ada masjid
demikian 100 tahun lalu di seluruh Kelantan.
Manuskrip
itu disalin oleh seorang yang dikenali sebagai “Sa”, mungkin ringkasan
untuk nama Hasan Hj San Lindang, yang tertera pada naskah itu. Manuskrip
itu kemudiannya sampai ketangan seorang pekerja hospital yang baru
ditubuhkan di Kota baru. Nik Ismail telah berkhidmat sebagai kerani gaji
dan elaun kerja pada tahun 1918.
Menurut
Nik Ismail, bapanya Hj Mohamad adalah adik kepada Hasan dan mungkin
mewarisi buku itu. Nik Ismail kemudian memberi salinannya kepada Dr
Desmond Gimlette, pakar bedah negeri Kelantan yang menyampaikan karya
itu kepada Sir Richard Olaf Winstedt, pakar kajian Asia yang tersohor di
Eropah. Beliau menderma naskah itu kepada SOAS.
Namun
demikian ramai penyelidik di Malaysia tidak mengetahui mengenainya,
mungkin kerana ia disimpan dan dimiliki oleh SOAS di London.
Ketika
sesi soal jawab, para akademik dari ATMA dan Fakulti Pengajian Islam UKM
yang hadir berasa hairan dengan niat sebenar “orang masjid” yang
memesan supaya naskah itu ditulis untuknya.
Dr Farouk,
berkata kajiannya hanyalah mengenai gambar dan rajah manuskrip. Beliau
tidak pula menilaikan watak atau peribadi pemilik manuskrip itu.
Dr Farouk
Yahya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari London School of Economics
(LSE), University of London dalam jurusan perakaunan. Beliau juga
seorang ahli Chartered Institute of Management Accountants (CIMA).
Bagaimana
pun, setelah berkhidmat selama empat tahun sebagai akauntan di syarikat
muzik di London, Dr Farouk mengambil keputusan untuk mengkaji secara
lebih mendalam hobinya, iaitu kesenian Melayu.
Beliau
memperolehi ijazah Doktor falsafah dari SOAS dengan tesis bertajuk“
Magic and Divination: The Malay Tradition In Illustrated Manuscripts”.
Selain daripada bertugas sebagai pensyarah sambilan di SOAS, beliau juga adalah penolong kurator pameran Gifts Of Recognition, yang memaparkan pelbagai jenis anugerah dan hadiah tradisional Melayu.
Beliau masih mengekalkan kerakyatan Malaysia tetapi adalah pemastautin tetap di Britain. Ibu Bapanya tinggal di Shah Alam.
Sumber dari http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-kampus/1574-manuscript-of-malay-magic-that-caused-a-stir.html
No comments:
Post a Comment