Wednesday, May 22, 2013

Bekalan Elektrik Diputuskan (Bhg II)

Entri ini adalah susulan entri bekalan elektrik diputuskan yang saya tulis menggunakan aplikasi mobile di handphone saya. Sebenarnya di kawasan perumahan tempat saya menetap sudah diberi notis dari TNB berhubung gangguan bekalan elektrik pada tarikh dan waktu yang diberitahu.

 Seminggu sebelumnya pun sudah ada satu notis lain yang dihantar ke rumah kami dan maklumat yang tertera adalah tarikh dan waktu yang berlainan. Bermakna, pihak TNB dijangka menganggu bekalan elektrik kami sebanyak dua kali iaitu pada minggu lepas dan minggu ini.

Imej dari http://images.jagran.com
Namun pada minggu lepas, bekalan elektrik tidak langsung diusik oleh TNB. Mungkin kawasan perumahan di hadapan terganggu tapi yang pasti kawasan perumahan saya tidak terjejas. Jadi, apabila mendapat notis baru dan tarikh gangguan yang baru, maka diri ini menjadi alpa mengenangkan berkemungkinan besar tiada gangguan seperti minggu lepas.

Apakan daya, segalanya meleset seperti pelesit. Pemergian kami ke klinik (adik Firaas batuk selsema) adalah dalam keadaan ceria dan happy selalu. Namun kepulangan kami disambut dengan ketiadaan bekalan elektrik. Apabila keadaan menjadi keluh kesah maka memori tiba-tiba menerjah. Notis TNB yang kedua segera ditatapi dan bergetar hati luluh jiwa apabila mendapati bahawa tarikh dan waktu gangguan adalah pada tika dan saat ini.

Apabila anak-anak menjadi gelisah, lebih-lebih lagi melihatkan si adik Firaas yang batuk selsema dan berpeluh-peluh kepanasan, keputusan segera diambil untuk membawa kesemua isi rumah keluar kembali mencari kesejukan di pasaraya sambil membeli apa yang terlintas di hati dan Alhamdulillah kepulangan kami ke rumah disambut dengan jutaan bekalan elektrik.

Timbul persoalan antara dua sumber asas manusia moden masa kini iaitu elektrik dan air, mana lebih sengsara jika ianya tiada? Carian mudah di Google mendapati bahawa bekalan elektrik adalah penting sementara bekalan air adalah keperluan. Terdapat juga pendapat mengatakan bahawa generasi yang lebih muda menganggap elektrik adalah lebih penting dari air kerana generasi ini dibesarkan dengan alat teknologi yang memerlukan elektrik seperti internet, gadget, handphone, tv. Kutu mereka akan mati tanpa kesemua alatan ini. Generasi yang lebih senior dan tidak terlalu bergantung kepada gadget pula menganggap air adalah penting. Untuk makluman, hasil carian Google tersebut tidak saya sertakan disini kerana kredibiliti laman web tersebut masih boleh dipertikaikan namun pendapat-pendapat yang diutarakan ada lojiknya.

Kajian dari Benjamin Franklin mengenai elektrik menghasilkan satu tenaga yang amat diperlukan ramai sehinggakan manusia sukar hidup tanpanya.

Imej dari http://images.jagran.com


No comments:

Post a Comment